Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:40
Maghrib
7:22
Isyak
8:33

Libat diri dalam kerja sukarela dek ingin semua raih peluang pendidikan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

ANUGERAH MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Libat diri dalam kerja sukarela dek ingin semua raih peluang pendidikan

Oct 09, 2022 | 05:30 AM

PENGLIBATANNYA dalam kerja-kerja sukarela bermula seawal di Maktab Rendah Temasek lagi apabila beliau mengajar tuisyen secara percuma kepada para pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Melihat bagaimana pendidikan mampu mentransformasi kehidupan seseorang terutama untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, ia mendorong Encik Alwi Abdul Hafiz untuk terus melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela.

Malah, beliau merupakan antara individu yang memainkan peranan utama dalam penubuhan AMP Singapura pada 1991, ketika itu pada usianya 29 tahun.

Atas pengorbananannya kepada masyarakat, Encik Alwi, kini 60 tahun, telah dianugerahkan Anugerah Jasa Bakti bagi Anugerah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tahun ini.

Beliau merupakan antara sembilan individu unggul yang menerima anugerah tertinggi Muis itu sebagai pemenang Anugerah Jasa Cemerlang dan Jasa Bakti.

Anugerah tahunan itu mengiktiraf individu cemerlang yang telah membuat sumbangan ketara kepada kehidupan sosio-agama bagi masyarakat Muslim di Singapura.

Anugerah Jasa Bakti (Perkhidmatan) diberikan kepada individu atas khidmat contoh mereka yang berpanjangan kepada masyarakat.

Menyusur perjalanannya, Encik Alwi, yang merupakan Ketua Perkongsian Strategik dalam Kemampanan dan Perhubungan di Golden Agri Resources, masih teringat lagi penglibatan pertamanya di bawah AMP di mana beliau perlu menerajui Program Cendekiawan Muda.

Dari 1998 hingga 2007, beliau merupakan antara anggota Lembaga Pengarah AMP.

"Pada tahun-tahun awal AMP, tumpuannya adalah untuk mempertingkat kedudukan masyarakat dengan menitikberatkan soal pencapaian pendidikan," imbasnya.

Menurutnya, ini adalah penting kerana pada ketika itu jurang pencapaian pendidikan masyarakat Melayu/Islam terlalu luas berbanding dengan purata nasional.

"Lebih daripada itu, pentingnya juga untuk mengubah persepsi masyarakat sekitar kerana jurang lebar dalam pendidikan masyarakat kita mungkin akan mempunyai kesan jangka panjang terhadap peluang mereka mendapatkan pekerjaan di masa hadapan.

"Justeru kami rasakan adalah amat kritikal untuk menangani isu ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Selain AMP, beliau turut berbakti selaku anggota Lembaga Pengarah Mendaki dan juga sehingga kini sebagai anggota Lembaga Pengarah bagi Mendaki SENSE.

Beliau bagaimanapun masih lagi aktif sebagai anggota Lembaga Pengarah bagi Mendaki Sense sejak 2014 hingga sekarang dan juga pengerusi Anugerah Belia Cemerlang dari 2015 hingga sekarang.

Antara sumbangan Encik Alwi juga termasuk dalam memastikan masyarakat Muslim mempunyai akses dan peluang untuk berjaya dalam pendidikan.

Misalnya, beliau telah menyumbang terhadap keberkesanan pengurusan dan pengagihan Dana Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam (MMCDF).

Di samping itu, beliau juga mengarahkan usaha untuk mengumpul dana bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF), sebuah program yang bertujuan untuk menyokong pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Pencapaian pendidikan anak Melayu/Islam kita kini semakin baik. Malah kecemerlangan yang mereka raih bukan sahaja dalam bidang akademik sahaja semata-mata tetapi juga dalam bidang kesenian dan sukan," ujarnya.

Namun Encik Alwi yang kini juga merupakan Penasihat Kemampnan kepada syarikat Golden Veroleum Liberia turut menekankan apa yang lebih diperlukan belia muda hari ini bukanlah daripada segi wang ringgit.

Sebaliknya, apa yang mereka dahagakan hari ini ialah peluang.

"Masyarakat kita merupakan masyarakat yang berdaya tahan. Dalam perbincangan kami, kami dapati apa yang didambakan belia muda hari ini, dan ini juga bagi mereka yang datang daripada latar belakang yang kurang berkemampuan, bukanlah daripada segi kewangan tetapi sebaliknya mereka mahu diberikan peluang.

"Dengan peluang itu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mempelajarinya, berusaha dan insyaAllah berjaya dalam bidang yang mereka terajui," katanya lagi.


"Lebih daripada itu, pentingnya juga untuk mengubah persepsi masyarakat sekitar kerana jurang lebar dalam pendidikan masyarakat kita mungkin akan mempunyai kesan jangka panjang terhadap peluang mereka mendapatkan pekerjaan di masa hadapan.

Justeru kami rasakan adalah amat kritikal untuk menangani isu ini dengan sebaik mungkin."
- Encik Alwi Abdul Hafiz, pemenang Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3