SEBANYAK lima masjid dan dua institusi masyarakat mula menerima pulangan daripada pelaburan mereka dalam projek wakaf Red House di Katong.
Sejumlah $67,500 dalam bentuk hibah diagihkan oleh anak syarikat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Warees Investments, kepada pelabur di bawah satu skim pelaburan inovatif.
Skim inisiatif pelaburan institusi (3I) itu membolehkan institusi seperti masjid dan badan masyarakat membiayai bersama kos membangun semula projek The Red House, atau melabur dalam unit perumahan projek berkenaan.
Lima masjid - Masjid An-Nur, Masjid Al-Mukminin, Masjid Darul Ghufran, Masjid Haji Muhammad Salleh (Palmer Road) dan Masjid Assyakirin - masing-masing melabur $1 juta (berjumlah $5 juta) bagi membiayai bersama kos projek The Red House itu.
Masjid akan mendapat hibah sebanyak 2.1 peratus setahun, atau sejumlah $42,000 bagi setiap masjid dalam tempoh dua tahun.
Menurut kenyataan Warees, setiap masjid itu menerima bayaran pertama sebanyak $5,250 dalam majlis pengagihan yang dijalankan di Masjid Al-Mukminin di Jurong East pagi tadi.