Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Lima masjid tampung lebih ramai jemaah solat Jumaat

Dec 12, 2020 | 05:30 AM



SEBANYAK lima masjid meningkatkan kapasiti jemaah kepada 250 bagi setiap sesi solat Jumaat mulai semalam.



Lima masjid itu adalah Al-Islah di Punggol, Al-Istighfar di Pasir Ris, Darul Ghufran di Tampines, Assyafaah di Admiralty dan Al-Khair di Teck Whye.



Dengan penambahan satu zon menjadikan jumlah zon keseluruhan lima, setiap masjid itu dapat membuka pintu kepada 750 jemaah secara keseluruhan bagi kesemua tiga sesi solat Jumaat.



Sesi solat jumaat diadakan pada jam 12.50 tengah hari, 1.50 petang dan 2.50 petang.



Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi Masjid Darul Ghufran semalam, keadaan kelihatan teratur dengan langkah pengurusan selamat ditetapkan seperti pemeriksaan suhu dan mengekalkan jarak satu meter.



Zon pertama dan kedua diadakan di tingkat satu, zon ketiga di tingkat dua, zon keempat di tingkat tiga, manakala zon lima di tempat meletak kereta bawah tanah.



Pengerusi Masijd Darul Ghufran, Encik Muhammad Faizal Abdollah, mengalu-alu langkah untuk membolehkan lebih ramai jemaah hadir bagi solat Jumaat.



"Ini amat diperlukan masyarakat kerana ramai umat Islam di Singapura masih ingin ke masjid untuk melakukan ibadah solat Jumaat. Dengan kepercayaan (pihak berkuasa) ini, ia menunjukkan bagaimana masyarakat Islam di Singapura memainkan peranan dalam menjaga keselamatan diri mereka termasuk menggunakan aplikasi dan token TraceTogether. Tanpa kesinambungan ini, kemungkinan masjid di Singapura tidak dapat membuka lebih banyak ruang," katanya yang berterima kasih atas kerjasama dan kesabaran para jemaah.



Menyentuh tentang persediaan pihak masjid, beliau berkata mereka tidak menghadapi apa-apa masalah dari segi ruang memandangkan Masjid Darul Ghufran, yang telah menjalani kerja naik taraf, boleh menampung 5,500 jemaah pada waktu biasa jika tiada sekatan Covid-19.



Namun, mereka telah mendapatkan bantuan lebih ramai kakitangan dan relawan untuk melaksanakan keperluan langkah pengurusan selamat supaya proses menyambut jemaah di masjid berjalan dengan lancar.



Salah seorang jemaah masjid itu, Encik Muhammad Firdaus Noor Kim, 34 tahun, berkata keadaan di Masjid Darul Ghufran terurus dengan baik dan semuanya teratur meskipun terdapat lebih ramai jemaah yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.



Pegawai polis itu yang menunaikan solat Jumaat sekali dalam dua bulan sejak Covid-19 melanda, gembira terdapat peluang bagi masjid meningkatkan jumlah jemaah.



"Tampines besar, dan kita cuma ada satu masjid di Tampines jadi langkah ini membolehkan lebih ramai jemaah untuk datang ke masjid. Jika tidak, jemaah perlu tunggu lama untuk mendapatkan tempat," katanya yang akui tempahan di masjid tersebut cepat dipenuhi.



Mulai semalam juga, masjid di Singapura melaungkan azan bagi solat Jumaat pada 12.50 tengah hari, iaitu sebelum masuknya waktu zuhur.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ini bagi memastikan seberapa ramai jemaah dapat terus menunaikan solat Jumaat di masjid, sungguhpun waktu solat zuhur akan bermula lebih lewat.



Menerangkan langkah itu, anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, berkata keputusan ini sebenarnya berdasarkan pada hadis Rasulullah saw yang bertujuan menjaga kebajikan masyarakat Islam yang ingin mendirikan solat Jumaat dan membenarkan seramai mungkin melaksanakannya.



"Sungguhpun begitu, saya ingin menekankan dan menegaskan bahawa panduan ini hanya dibenarkan sekiranya anda mendirikan solat Jumaat di masjid.



"Sekiranya anda tidak berjaya mendapatkan tempat untuk solat Jumaat, anda perlu menggantikannya dengan solat zuhur di rumah dan anda perlu mengikuti waktu zuhur seperti biasa," ujarnya.



Pengumuman tersebut turut disampaikan dalam khutbah Jumaat minggu lalu yang menyatakan bahawa keputusan tersebut adalah keputusan yang dilakar oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura.



Ini antara penyesuaian yang dilaksanakan pada sebahagian amalan keagamaan akibat pandemik Covid-19 sekarang demi memastikan keselamatan jemaah masjid serta kesejahteraan masyarakat secara umum.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >