PRESIDEN Halimah Yacob telah melancarkan logo dan visi baru bagi Cabaran Presiden (PC) semasa rumah terbuka Istana hari ini (Ahad, 26 Jan) sempena Tahun Baru Cina.
Sempena ulang tahun ke-20 PC, logo dan visi baru itu dilancarkan demi merangkumi fasa baru PC iaitu memperkasa golongan kurang bernasib baik.
Visi baru PC kini 'Memperkasa Kehidupan, Meningkatkan Masyarakat'.
"Dengan keperluan masyarakat berubah, pendekatan kita untuk menyokong golongan kurang bernasib baik juga mesti berubah.
"Oleh itu, sejak 2018, PC telah melakukan lebih dari hanya memberi bantuan; ia juga cuba memperkasa golongan kurang bernasib baik agar kita dapat mewujudkan perubahan lebih besar kepada kehidupan mereka," ujar Puan Halimah.
PC dimulakan oleh mantan presiden mendiang S R Nathan dan telah berjaya mengumpulkan $200 juta.