SISTEM LRT Bukit Panjang (BPLRT) akan memulakan khidmatnya pada 7 pagi dan bukan 5.30 pagi pada setiap Ahad mulai minggu ini sehingga 31 Disember, kata SMRT dalam kenyataannya.
Ini demi memudahkan usaha penyenggaraan landasan dan kerja pembaharuan untuk menggantikan kerangka cagakan rel dan sambungan pengembangan rel lama.
Khidmat operasi yang mula lebih lambat itu akan menambahkan waktu kerja kejuruteraan daripada 2 jam kini kepada tiga setengah jam setiap malam. Ini akan meningkatkan kadar masa yang diluangkan pekerja penyenggara di atas landasan.
Masa tambahan itu juga bererti jurutera boleh melaksanakan kerja penyenggaraan berat yang tidak boleh dilakukan dalam jangka masa dua jam yang biasa. Ini akan membolehkan kerja penggantian yang dijadualkan dipercepatkan.
“Kerja-kerja ini adalah penting bagi mengekalkan kebolehpercayaan sistem rel kuasa dan memastikan operasi kereta api yang lancar,” kata SMRT.
Khidmat bas ulang alik yang bergerak sepanjang laluan LRT itu akan disediakan buat penumpang demi mengurangkan impak pembukaan khidmat lebih lewat.
Penumpang akan perlu menggunakan kad EZ-Link mereka seperti menaiki bas lain. Bas tersebut akan beroperasi daripada 5.30 pagi hingga 7 pagi.