PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) telah memberi kontrak sivil bagi kerja rekaan dan pembinaan dua stesen dan terowong yang berkaitan di bawah Fasa 1 Laluan Cross Island (CRL1).
Menurut kenyataan LTA semalam, kontrak pertama yang bernilai $467 juta dan meliputi kerja rekaan dan binaan stesen dan terowong Defu, telah diberikan kepada usahasama Gamuda Berhad Cawangan Singapura - WaiFong Construction Pte Ltd.
Kontrak kedua pula yang ditaksirkan bernilai sekitar $397 juta, meliputi kerja rekaan dan binaan stesen dan terowong Tampines North.
Ia diberikan kepada syarikat China Communications Construction Company Limited (Cawangan Singapura)
LTA berkata kerja-kerja pembinaan bagi stesen Defu dan Tampines North dijangka bermula pada permulaan suku kedua tahun ini.
Khidmat penumpang bagi CRL1, iaitu sebahagian daripada laluan MRT yang kelapan Singapura, dijadualkan bermula pada 2030.
Stesen Defu terletak di Tampines Road di antara Defu Avenue 1 dan Defu Avenue 2, sementara stesenTampines North terletak di antara Tampines Link dan Tampines Avenue 11.
Menurut LTA lagi kerja-kerja penggalian di kawasan-kawasan tersebut dijangka mencabar kerana keadaan tanah yang terdiri daripada lapisan tanah liat laut yang tebal dan lembut di samping bahan berupa tanah yang merupakan tanah liat berpasir dan pasir bercampur halus dan kasar.
"Lantaran itu, langkah-langkah keselamatan akan diambil semasa menjalankan struktur menstabilkan dan mengekalkan bumi serta kerja penggalian yang dalam bagi memastikan kestabilan tanah dan struktur di sekitarnya.
"LTA dan kontraktor akan memantau kerja-kerja ini dari dekat bagi memastikan ia dilaksanakan dengan selamat..." ujar LTA.