PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) mempertimbangkan untuk menambah kekerapan khidmat bas di sepanjang kawasan landasan kereta api utama, terutama sekali semasa waktu sibuk.
Demikian yang ditekankan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini.
Beliau menambah bahawa ini akan mengukuhkan rangkaian pengangkutan awam, sambil menyediakan khidmat sokongan atau “backup” apabila ia diperlukan, katanya melalui pos di Facebook.
Dalam pos tersebut, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penumpang kerana memberikan pekerja pembaikan waktu tambahan untuk bekerja melalui penutupan stesen awal, pembukaan stesen yang lebih lewat serta penutupan stesen pada Ahad tertentu.
“Ini membantu mempercepatkan lagi kerja kami, sama ada dari segi isyarat, memasang halangan bunyi, penambahbaikan atau pemeriksaan yang lebih intensif,” tulisnya lagi.
“Dalam melakukan penambahbaikan, setiap jam amat berharga.”
Malam semalam, Encik Khaw mengunjungi pasukan pekerja landasan kereta api di landasan, di mana beliau ditunjukkan bagaimana sistem isyarat baru oleh syarikat Perancis Thales membolehkan operasi satu barisan untuk Laluan Utara-Selatan (NSL).