LTA terima 39,000 permohonan bagi lesen kereta sewa privet

IRMA KAMARUDIN

PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) telah menerima sekitar 39,000 permohonan bagi Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Privet (PDVL) sehingga 21 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, sekitar 33,000 permohonan diberi kelulusan mendaftar bagi kursus PDVL, dengan 500 pemandu telah pun berbuat demikian.

Kursus PDVL selama 10 jam itu antara lain merangkumi topik mengenai tanggungjawab sebagai pemandu dan sistem markah demerit.

Tahun lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan rangka kerja pelesenan baru bagi pemandu kereta sewa privet seperti Uber dan GrabCar yang akan dikuatkuasakan tahun ini.

Di bawah rangka kerja itu, pemandu perlu mendapatkan PDVL bagi menyediakan khidmat drebar. Pemohon PDVL antara lain juga perlu melalui pemeriksaan latar belakang dan mempunyai lesen memandu Kelas 3 atau 3A sekurang-kurangnya untuk selama dua tahun.

Jurucakap LTA juga berkata sehingga 21 Jun, sekitar 27,000 kereta sewa privet telah menampalkan pelekat yang menandakan bahawa ia kereta sewa privet berdaftar.

Mulai 1 Julai, semua kereta sewa privet yang menyediakan khidmat drebar mesti meletak pelekat pada cermin depan dan belakang kenderaan mereka.

Ini supaya lebih mudah mengenal pasti kereta sewa privet berdaftar dan bagi memudahkan penguatkuasaan terhadap kesalahan seperti kereta tidak berdaftar menyediakan khidmat drebar atau kereta sewa privet mengambil penumpang di tepi jalan raya.