Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:10
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

PROGRAM ICAN ANJURAN BAPA SEPANJANG HAYAT

Luah rasa kesal kerana tidak dapat besarkan anak

Sep 19, 2019 | 05:30 AM

BAYANGKAN jika seorang anak itu dipisahkan daripada ayahnya dari umur yang kecil dan akhirnya bertemu kembali selepas bertahun- tahun berpisah.

Mungkin janggal, ada juga yang tidak dapat menerima hakikat.

Bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Bapa Sepanjang Hayat - gerakan yang diperjuang Pusat Kebapaan (CFF) - kunjungan terbuka di Kompleks Penjara Changi telah dianjurkan, yang merupakan sebahagian daripada program iCAN.

iCAN diperkenalkan bagi memberi peluang kepada banduan belajar tentang cara mendidik anak, tentang kekuatan dan kelemahan mereka melalui siri kursus dan bengkel.

Dalam sebuah bilik yang cukup besar yang boleh memuatkan 12 banduan dan ahli keluarga mereka, kegiatan seperti menghias kek dan tulisan surat perjanjian dijalankan.

Bagi Irwan (bukan nama sebenar), yang sudah setahun tidak berjumpa anak perempuannya yang berumur tiga tahun:

"Saya gembira...," itu sahaja yang dapat dikatakannya apabila anaknya lari ke dalam dakapannya.

Ini bukanlah kali pertama Irwan masuk penjara, ia kali ketujuh. Apa yang berbeza kali ini dia ada seorang anak yang memerlukannya.

Irwan bersama isterinya, Cik Aishah (bukan nama sebenar), yang sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun itu kesal atas perbuatannya yang menyebabkan dia dihukum penjara selama enam tahun empat bulan atas kesalahan mengedar dadah.

"Berada di dalam dan memindahkan tanggungjawab saya sebagai suami dan bapa ke bahu isteri saya membuat saya rasa sangat tidak berguna.

"Apabila anak saya mula membesar, bercakap, berjalan, semuanya saya tidak dapat saksikan. Ia membuat saya rasa sangat sedih, tapi sudah terlambat.

"Jika boleh, saya ingin sangat luangkan masa yang lebih bersama anak saya, menonton TV bersamanya, berjalan bersamanya, saya ingin sangat lakukan perkara yang seorang bapa biasa lakukan bersama anaknya," kata Irwan sambil menahan air matanya.

Cik Aishah yang berada di bilik yang sama itu mengatakan bahawa beliau terharu apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut suaminya itu.

"Dia bukan seorang yang sering meluahkan perasaan. Apabila dia berkata sedemikian, ia sampai ke hati saya dan saya harap dia dapat menepati janjinya," kata Cik Aishah yang berumur 38 tahun.

Cik Aishah, yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berumur 17 tahun daripada perkahwinan pertamanya, mengakui bahawa amat mencabar baginya mengimbangi masa antara kerjanya sebagai penyambut tamu dan tanggungjawab sebagai ibu pada masa yang sama.

Sambil Cik Aishah mencatatkan harapan buat suaminya pada kertas yang diberi oleh pihak CFF, Irwan tersenyum lebar sambil bermain dengan anaknya yang tidak henti gelak ketawa sambil menyebut perkataan "papa" berkali-kali.

Apabila ditanya adakah beliau mepunyai kata-kata harapan yang ingin diucapkan kepada suaminya, Cik Aishah berkata:

"Jadilah bapa yang lebih baik. Sentiasa tahu bahawa saya dan Nurul (bukan nama sebenar) ada di sini, menyokong dan menunggu kamu. Sekarang terpulang kepada kamu."

Bekerja rapat dengan golongan banduan ialah Encik Ashyruddien Ali, 30 tahun, Pengawas Peribadi di Institusi B3.

Encik Ashyruddien dapat melihat perubahan yang berlaku kepada banduan selepas mereka menghadiri program dan kursus seperti iCAN ini.

"Perubahan pertama yang dapat saya lihat adalah dalam cara mereka berfikir. Daripada pemikiran negatif kepada pemikiran positif. Sebelum mereka bertindak, mereka akan berfikir tentang kesannya dan orang sekeliling mereka," ujar Encik Ashyruddin.

Seorang lagi pegawai yang hadir dalam sesi iCAN itu, SUPT 1 Derry Teh, 37 tahun, Superintenden Kedua di Institusi B3 juga mengatakan bahawa tanggungjawab sebagai bapa itu tidak henti hanya kerana mereka berada di dalam penjara. Sikap ingin berubah itu menunjukkan usaha mereka.

Ini termasuk kali keenam CFF menganjurkan lawatan terbuka bersama SPS dalam program iCAN.

Apabila ditanya tentang harapan buat Irwan yang sering beliau nasihati, Encik Ashyruddien berkata:

"Jangan pernah putus asa. Selalu ingat yang kamu ada keluarga yang sedang harapkan dan menunggu kamu, terutamanya anak kamu, ingat yang dia sangat memerlukan kamu."

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian