Lulus Yale-NUS tapi gigih buru impian bidang pertukangan kayu, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Lulus Yale-NUS tapi gigih buru impian bidang pertukangan kayu

Jan 14, 2021 | 05:30 AM

BERBEKALKAN ijazah daripada Kolej Yale-NUS, Encik Ziyad Ahmad Bagharib, mula berkecimpung dalam bidang teater, dan kemudian memburu impiannya sejak kecil lagi - menjadi seorang tukang kayu.

Minat dalam pertukangan kayu itu sudah lama terpendam sehingga satu kembara trekking di sebuah hutan di Bukit Lawang, Indonesia, pada akhir 2018 menghidupkan minatnya kembali.

Encik Ziyad telah menyaksikan penduduk setempat membina rumah sendiri dan menghasilkan barangan buatan tangan, dan ia mengingatkan akan impiannya ketika kecil dahulu untuk menetap di sebuah rumah kayu yang dibina sendiri.

Sebelum itu, lulusan antropologi itu telah melibatkan diri dalam seni lakonan teater hampir 10 tahun, namun kini memberanikan diri untuk menceburi bidang pertukangan kayu demi mengejar impiannya.

"Pendek kata, ekspedisi di Indonesia itu telah merubah kehidupan saya kerana sebaik sahaja saya pulang ke Singapura, saya telah cuba mencari perantisan pertukangan kayu untuk mula kerjaya baru ini," ujar pemuda berusia 28 tahun itu yang minat dengan alam semulajadi sejak bangku sekolah menengah.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Victoria (VS), dan pernah mewakili sekolah itu yang muncul sebagai juara pertandingan bahas anjuran akhbar ini pada 2009. Beliau kemudian menyambung pengajian di Institusi Raffles (Maktab Rendah).

Beliau akui bahawa ramai yang terkejut akan keputusannya menyertai program perantisan di syarikat ubah elok Reno Scout Pte Ltd pada Februari tahun lalu.

Encik Ziyad berkata keluarganya rata-rata menyokong keputusannya. Hanya bapanya yang prihatin dengan keputusannya itu.

"Ibu saya menerima apa yang saya ingin lakukan, kakak saya menyokong sepenuhnya dengan apa yang saya mahukan. Tetapi bapa saya tidak begitu yakin.

"Namun, saya rasa dia lebih bimbang akan betapa bahaya pekerjaan ini kerana alat-alat yang digunakan perlu berhati-hati. Saya pasti, bapa saya tidak ingin melihat anaknya dengan lapan jari sahaja!" seloroh anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.

Bagaimanapun, Encik Ziyad tekad bekerja keras dalam program perantisannya yang dipendekkan kepada enam bulan berbanding dua tahun yang ditetapkan sebelum ini.

Kini, beliau sudah menjadi tukang kayu sepenuh masa berkat dedikasi dan semangatnya untuk belajar kemahiran pertukangan.

Melalui kerjaya baru yang diceburi ini, Encik Ziyad perhatikan bahawa ia sangat berbeza daripada pengalamannya dalam lakonan teater.

"Ketika berlakon, ia lebih subjektif. Saya dapat memberi pendapat sendiri, meneroka watak tersebut... tiada jawapan yang betul atau salah. Ia lebih kepada emosi.

"Tetapi, dalam bidang pertukangan, ia berbeza sekali. Hanya ada betul atau salah. Jika almari itu tidak boleh tutup, bermakna ukuran saya salah. Sudah tentu pertukangan kayu kurang emosi, namun ia lebih kepada matematik dan penyelesaian masalah. Saya perlu teliti dan berhati-hati," jelas Encik Ziyad.

Antara idolanya dalam bidang itu ialah Shawn James, seorang warga Canada yang mempamerkan karyanya di YouTube.

"Jika sesiapa yang minat dalam pertukangan, jangan segan atau takut untuk mencubanya. Saya juga mula tanpa sebarang pengalaman tetapi dengan kerja keras dan sikap ingin belajar, secara perlahan, anda akan berjaya," nasihat Encik Ziyad.

Untuk memaparkan perjalanan dan pengalamannya dalam pertukangan kayu, Encik Ziyad telah memuatnaik beberapa video di Instagram di @papans.woodworking untuk dikongsi dengan orang ramai.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map