MEREKA yang tamat pendidikan di politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan universiti berautonomi boleh mengambil sehingga empat modul pendidikan dan latihan yang ditawarkan sekolah mereka secara percuma bermula bulan depan.
Ini demi menyokong para lulusan dalam memperluas kemahiran mereka dan menyediakan mereka dengan lebih banyak peluang di sektor-sektor yang berbeza, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (26 Mac).
Tawaran itu merupakan lanjutan dari inisiatif sekali sahaja yang diperkenalkan tahun lalu oleh MOE, SkillsFuture Singapura dan institusi pengajian tinggi yang terlibat.
Kohort graduan universiti seramai 16,000 orang tahun ini dan sekitar 45,000 lulusan ITE dan politeknik boleh memilih modul pendidikan dan latihan lanjutan (CET) percuma daripada pilihan yang meluas yang diajarkan secara dalam talian serta fizikal.
Mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan negara (NS) pada 2021 juga layak mengambil modul-modul itu.
MOE berkata lebih 1,700 graduan daripada enam universiti berautonomi di sini dan lebih 1,300 lulusan ITE dan politeknik daripada kohort 2020 sudah mengambil modul CET.
ITE dan politeknik akan menawarkan lulusan mereka sekurang-kurangnya dua - namun tidak lebih empat - modul percuma daripada kira-kira 1,000 kursus CET.
Lebih separuh kursus-kursus itu boleh digabungkan untuk dijadikan sijil Nitec atau Higher Nitec atau sijil posdiploma.
Bagi graduan universiti berautonomi pula, mereka boleh memilih sehingga empat modul daripada 1,700 pilihan yang ditawarkan. - The Straits Times