Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lulusan universiti perlu terbuka raih kemahiran

Mar 04, 2018 | 05:30 AM



Satu tinjauan pekerjaan siswazah baru-baru ini melaporkan bahawa bilangan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang melakukan pekerjaan bebas meningkat daripada 1.7 peratus pada 2016 kepada 2.4 peratus tahun lalu. Apakah sebab-sebab yang mendorong lulusan baru dan muda ini mengikuti laluan tersebut? Adakah melakukan pekerjaan bebas sesuatu yang positif? Berikut Berita Harian meneroka kisah lulusan universiti baru yang menjadi pekerja bebas. Laporan oleh SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg).



TREND lebih ramai lulusan universiti baru melakukan kerja bebas bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kongres Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Zainal Sapari.



Beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, berkata golongan tersebut mungkin meraih inspirasi daripada kisah anak-anak muda yang mengecapi kejayaan menerusi semangat keusahawanan mereka.



Dengan kisah sedemikian dikongsi di media sosial, lulusan baru mungkin terdorong melakukan yang sama.



"Jika lulusan muda itu melakukan pekerjaan bebas bagi mengejar minat atau kerana mereka mempunyai semangat keusahawanan, ia sesuatu yang harus digalakkan," kata beliau.



Laporan tinjauan pekerjaan siswazah bersama yang melibatkan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) baru-baru ini mendedahkan bahawa lebih ramai lulusan universiti bekerja secara bebas tahun lalu.



Sekitar 2.4 peratus daripada mereka bekerja secara bebas pada 2017 berbanding 1.7 peratus lulusan pada 2016.



Jurulatih Kerjaya dari WSG Careers Connect, Cik Emilena Abdul Rahman berkata pekerjaan bebas mungkin menarik kepada lulusan baru kerana ia membantu mereka menemukan kerjaya yang diminati sementara menikmati aturan pekerjaan fleksibiliti dan dibayar mengikut apa yang mereka fikir layak diterima.



Pekerjaan bebas yang sesuai dan baik juga akan membantu meningkatkan pengalaman pekerjaan lulusan baru dan membantu mereka meraih kemahiran baru, tambahnya.



"Apa pun pilihan yang diambil, saya menasihati lulusan baru untuk secara aktif merancang kerjaya mereka berbanding hanya melompat dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain," kata beliau.



Sementara itu, Encik Zainal menambah bahawa masih terdapat banyak peluang baik bagi lulusan universiti dalam pasaran pekerjaan hari ini, namun mereka perlu mengimbangi jangkaan mereka.



Justeru, beliau berkata mereka yang melakukan pekerjaan bebas mungkin berbuat demikian kerana pekerjaan yang sedia ada tidak dapat memenuhi jangkaan mereka.



"Lulusan muda harus terbuka meraih kemahiran dan pengetahuan baru untuk mendapatkan pekerjaan.



"Cabaran dalam pasaran pekerjaan lebih menjurus kepada golongan karyawan pertengahan kerjaya, namun pemerintah memberi insentif kepada majikan untuk mengambil mereka bekerja menerusi Program Penukaran Kerjaya," kata beliau.



Tinjauan tersebut juga mendapati hampir sembilan daripada setiap 10 lulusan - atau 88.9 peratus lulusan universiti itu - mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas selesai peperiksaan akhir mereka.



Mereka bekerja sepenuh masa, sambilan, sementara atau secara bebas.



Lagi tiga peratus lulusan telah menerima tawaran pekerjaan tetapi belum mula bekerja saat tinjauan itu dijalankan.



Bagaimanapun, jumlah lulusan yang mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa pula merosot daripada 79.9 peratus pada 2016 kepada 78.4 peratus tahun lalu.



Penolong Ketua Pengarah NTUC serta Pengarah Unit Pekerja Bebas dan Pekerja Sendiri, Encik Ang Hin Kee, berkata gerakan buruh mahu memastikan bahawa apa jua laluan yang dipilih lulusan universiti baru, mereka dapat menikmati sekitaran kerja selamat yang mempunyai amalan adil dan menyediakan peluang bagi mata pencarian berkekalan.



Beliau menambah bahawa golongan belia atau mereka yang bakal tamat pengajian boleh mendekati kaunselor bimbingan pendidikan dan kerjaya di sekolah, politeknik atau Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan jurulatih kerjaya di pusat kerjaya e2i dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk membantu membuat pilihan kerjaya.



"Adalah baik sekiranya kami dapat memperkukuh saluran untuk membimbing belia atau mereka yang bakal tamat pengajian bagi pilihan kerjaya yang sesuai sebagai batu loncatan aspirasi mereka.



"Sokongan penasihat kerjaya sedemikian juga boleh dipertingkat menerusi kerjasama dengan kumpulan pekerja bebas di mana mereka boleh menjadi mentor, menjalankan sesi ceramah untuk berkongsi pandangan dan meningkatkan kesedaran tentang jenis pekerjaan bebas yang berlainan," kata beliau.




"Lulusan muda harus terbuka meraih kemahiran dan pengetahuan baru untuk mendapatkan pekerjaan. Cabaran dalam pasaran pekerjaan lebih menjurus kepada karyawan pertengahan kerjaya, namun pemerintah memberi insentif kepada majikan untuk mengambil mereka bekerja menerusi Program Penukaran Kerjaya."
- Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kongres Sekerja Kebangsaan (NTUC) Zainal Sapari.



"Apa pun pilihan yang diambil, saya menasihati lulusan baru untuk secara aktif merancang kerjaya mereka berbanding hanya melompat dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain."
- Jurulatih Kerjaya dari WSG Careers Connect, Cik Emilena Abdul Rahman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >