Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27
Setempat

M³@Tampines dekati golongan guru, pelajar dan ibu bapa

Sesi kenal suai bagi penuhi keperluan masyarakat menerusi program yang dilakar dan disesuaikan bagi penduduk di situ
Mar 06, 2019 | 05:30 AM

DALAM merancakkan usaha mendekati guru Melayu, pelajar, dan ibu bapa di kawasan Tampines, M³@Tampines mengadakan sesi kenal suai atau networking pertama mereka pada Ahad lalu.

Serupa dengan M³ - kerjasama di antara Yayasan Mendaki, Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) - M³@Tampines yang dirintis di kejiranan Tampines tahun lalu ini bertujuan memenuhi keperluan masyarakat Melayu menerusi program yang dilakar dan disesuaikan bagi penduduk di sekitar kejiranan itu.

Sekitar 50 orang hadir buat sesi yang diadakan di Kelab Masyarakat Tampines West itu.

Selain wakil daripada Mendaki, Mesra dan Muis, sesi kenal suai tersebut disertai anggota Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), wakil Masjid Darul Ghufran, Yayasan Masyarakat PAP (PCF), pusat penjagaan kanak-kanak serta belia.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, juga hadir bagi memeriahkan lagi acara tersebut.

Pengerusi M³@Tampines, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata bahawa M³@Tampines merupakan wadah yang baik untuk menggabungkan rakan masyarakat dalam melaksanakan program berguna.

"Kami ingin lebih dekati masyarakat dan ini dilakukan dengan menyepadukan kekuatan masing-masing.

"Pada masa yang sama, kami mahu memastikan program yang dijalankan bermakna bagi masyarakat, bukan sekadar melaksanakannya dengan andaian bahawa ia akan berkesan," ujarnya.

Sesi kenal suai guru Melayu, pelajar dan ibu bapa tersebut merupakan salah satu antara enam kumpulan yang ingin didekati M³@Tampines.

Kata pengarah daerah pejabat kejiranan Tampines West, Encik Muhammad Saripi: "Kami mahu mendekati penduduk Melayu di Tampines, dan membincangkan bagaimana ingin melakar program lebih inklusif dan diketahui oleh para penduduk."

Antara program yang ingin dilaksanakan adalah Gema Si Cilik, bengkel keibubapaan serta program kekeluargaan yang memberi tumpuan pada golongan bapa terutamanya.

"Selalunya, program banyak sasar si ibu, tetapi kini kami ingin sasar kaum bapa juga," kongsinya.

Di samping itu, mereka turut berbincang bagaimana mahu memperbaiki program Bulan Bahasa.

Menyentuh tentang pendidikan, Encik Muhammad berkata mereka merancang ingin memberi lebih sokongan kepada kanak- kanak dalam mata pelajaran mereka, terutamanya apabila mereka mengorak langkah dari peringkat tadika ke darjah satu.

"Kami mahu menyampaikan mesej bahawa bantuan sedia ada jika masyarakat memerlukannya. Dengan rangkaian M³@Tampines ini, kami akan berusaha dengan gigih untuk mendekati masyarakat," tambahnya.

Selain sesi kenal suai guru bahasa Melayu, pelajar dan ibu bapa, M³@Tampines juga akan mengadakan pelbagai sesi antara lain melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi, kumpulan agama dan kaum serta segmen isitimewa masyarakat, panel pakar dan golongan profesional.


SEKILAS PROGRAM M³@TAMPINES

1. Projek Ihsan 2019

- Membantu keluarga yang memerlukan menyambut Hari Raya
a. Mengumpul pakaian dan aksesori Hari Raya yang baru atau sudah dipakai
- 16-17 Mac, 10 pagi hingga 6 petang
- Kelab Masyarakat Tampines West
b. Mengumpul kueh dalam botol dan minuman
- 6-17 Mei, 10 pagi hingga 8 malam
- Kelab Masyarakat Tampines West

2. ZUM-BACK

- Kegiatan kecergasan bagi kaum wanita, dan wang yang dikumpul akan disalurkan kepada badan amal
- 13 April, 10 pagi hingga 12 tengah hari
- Kelab Masyarakat Tampines West

3. Bengkel Memasak bersama Cef Bob

- 27 April, 2 hingga 5 petang
- Kelab Masyarakat Tampines West

Nota: Bagi lebih maklumat tentang senarai program, lungsuri laman Facebook M³@Tampines

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian