Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

M³ bakal diperluas dekati, bantu tingkat kemajuan masyarakat

Jawatankuasa ditubuh kaji keperluan kemahiran asatizah masa depan | Usaha galak kanak-kanak sertai prasekolah akan dipergiat
Mar 09, 2019 | 05:30 AM



MEMPERLUAS jangkauan M Kuasa Tiga (M³)@Bandar agar bantuan dan sokongan lebih dekat dengan masyarakat, menggalak lebih ramai kanak-kanak menyertai prasekolah, dan menubuhkan jawatankuasa bagi meninjau kemahiran yang diperlukan asatizah di masa depan.



Demikian antara inisiatif yang terkandung dalam strategi mendekati dan mempertingkat kemajuan masyarakat Melayu/Islam setempat.



Strategi itu dibentangkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa bahas Belanjawan Ehwal Masyarakat Islam semalam.



Mengenai perluasan M³, Encik Masagos berkata enam lagi M³@Bandar akan dilancarkan - di Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Woodlands tahun ini.



M³@Bandar sebelum ini telah dilancarkan di Tampines dan Pasir Ris-Punggol.



Semasa perbahasan itu, Encik Masagos berkata M³@Bandar akan menggembleng individu dan aset masyarakat serta nasional di kawasan kejiranan.



Ini untuk menghubungkan penduduk kepada tahap perkhidmatan terakhir, atau "last-mile service delivery" yang lebih cekap dan berkesan.



M³ merangkumi kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



"Program masyarakat yang sesuai akan didatangkan lebih dekat kepada penduduk untuk meningkatkan kesedaran dan kadar penyertaan dalam program.



"M³@Bandar juga akan mencipta peluang untuk semua tanpa mengira latar belakang dan keupayaan untuk melakukan kerja sukarela dan berkhidmat kepada jiran tetangga," kata beliau.



Encik Masagos turut mengalu-alukan sumbangan masyarakat, termasuk mereka yang memiliki kepakaran dan berpengalaman memegang pucuk pimpinan dalam menjayakan M³@Bandar.



Beliau menambah M³ sudahpun berganding bahu bersama badan masyarakat lain, termasuk bekerjasama dengan lapan badan Melayu/Islam bagi menawarkan khidmat sehenti di Wisma Geylang Serai (WGS) menerusi Kurnia@WGS.



Demi menyokong pembangunan anak-anak, Encik Masagos mengumumkan satu kempen khusus memupuk minat belajar dan cinta pada ilmu, Bulan Raikan Ilmu, anjuran Mendaki yang akan diadakan Oktober nanti.



Kempen itu bakal dimulakan dengan pelancaran Galeri Warisan yang merakam susur galur perjalanan masyarakat Melayu/Islam dalam mengejar ilmu.



Mendaki juga akan mengadakan pelbagai kegiatan lain bersama rakan M³ dan memadatkan Pesta Pembelajaran Mendaki dengan kegiatan bersesuaian buat segenap lapisan usia sempena kempen tersebut.



Usaha juga akan dilaksanakan untuk mempersiap golongan asatizah menghadapi dunia yang pesat berubah, dengan satu Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) akan ditubuhkan.



Jawatankuasa itu, yang terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat, asatizah dan karyawan dengan kepakaran relevan, akan mengajak masyarakat mencipta bersama visi "Asatizah Masa Depan" dan kemahiran serta kecekapan yang diperlukan asatizah untuk membimbing masyarakat.



"Dengan hasil dapatan daripada usaha yang diterajui Cofa, kami akan dapat berkongsi pelan pembangunan asatizah yang lebih menyeluruh pada akhir tahun ini," kata beliau.



Satu Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bagi semua lulusan jurusan agama juga akan dilancarkan tahun depan, tambahnya.



Mengenai peningkatan sektor madrasah pula, Encik Masagos berkata Madrasah Aljunied telah memulakan program International Baccalaureate (IB) dengan seramai 26 pelajar dalam kohort pertamanya tahun ini.



Muis juga telah menjalin kerjasama rapat dengan Madrasah Wak Tanjong dan lembaga pentadbir barunya untuk melaksanakan Pakej Bantuan Menyeluruh demi memperkukuh pentadbiran dan program pendidikan madrasah itu serta memberi perspektif yang pelbagai.



Encik Masagos berkata setiap orang boleh memainkan peranan dalam mempertingkatkan masyarakat.



"Setiap daripada kita boleh menjayakan lingkaran kecemerlangan ini: jika kita bekerjasama untuk satu matlamat sama; jika kita menggalak yang lain untuk berusaha dengan tekun; dan jika kita membantu generasi seterusnya.



"Dengan itu, masyarakat kita akan menjadi lebih kuat. Dan M³ akan menyediakan rangkaian dan sumber untuk memanfaatkan hubungan dan kepakaran yang kaya dalam masyarakat kita," tambahnya.



Dalam sidang semalam, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, teleh memberi perincian tentang usaha mengukuhkan sektor agama di Singapura.



Sementara itu, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pula membentangkan usaha memupuk semangat ingin menimba ilmu.



Bahas Belanjawan:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >