MADRASAH sepenuh masa dan kelas-kelas agama di masjid-masjid akan beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) bermula lusa (19 Mei).
Ini selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai langkah yang lebih ketat untuk mengekangkan penularan Covid-19 dalam masyarakat kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya.
Selain madrasah sepenuh masa dan kelas agama mingguan (Mempeljari Nilai-Nilai Islam Setiap Hari (aLIVE) di masjid-masjid, kelas-kelas agama yang dijalankan oleh Penyedia dan Pusat Pendidikan Islam (IECP) turut akan beralih ke HBL.
Namun, madrasah akan terus dibuka bagi sekumpulan kecil pelajar yang ibu bapa mereka tidak dapat membuat aturan jagaan kanak-kanak alternatif, terutama yang bertugas dalam khidmat penting, kata Muis.
Dalam kenyataannya, Muis berkata semua IECP harus mengalihkan program pembelajarannya ke dalam talian semasa tempoh langkah-langkah Covid-19 dipertingkat.
“Langkah ini amat digalakkan untuk mengurangkan ke tahap minimum risiko campur gaul antara pelajar dari kelas atau program berbeza,” kata Muis.
Menurut Muis, aturan baru ini harus dilaksana sehingga tempoh langkah dipertingkat Fasa Kedua berakhir, atau sehingga maklumat lanjut diberikan.