Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MAEC mula ubah peranan bangun masyarakat

Sep 04, 2018 | 05:30 AM



BEBERAPA Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) telah mula melakukan perubahan pada skop kegiatan mereka bagi memainkan peranan yang lebih relevan demi membantu membangunkan masyarakat.



Satu tinjauan rambang Berita Harian (BH) baru-baru ini menunjukkan beberapa MAEC itu telah mengorak langkah menganjurkan program-program melebihi daripada kegiatan yang sering mereka lakukan seperti yang berunsurkan budaya dan bahasa.



Bahkan, MAEC tersebut telah terlibat dalam menganjurkan program nasional seperti program kesihatan dan dialog tentang isu nasional, agar ia dapat bergerak selari dengan peranan barunya di bawah perikatan M Kuasa Tiga (M³), yang turut dianggotai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Yayasan Mendaki.



Menteri Negara (Pembangunan Negara dan Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata maklum balas yang diterima daripada pemimpin dan anggota akar umbi, termasuk MAEC, adalah positif dan optimis tentang peranan baru MAEC ini.



"Pemimpin akar umbi dan penduduk yang saya temui baru-baru ini berkata mereka bak mendapat suntikan semangat baru untuk memastikan MAEC dapat memainkan peranan baru sebagai sebahagian M³.



"Mereka kini sedar bahawa pemerintah menyokong usaha M³ dan mereka boleh menjayakan M³ menggunakan sumber Persatuan Rakyat (PA) yang meluas," kata Encik Zaqy, juga penasihat pertubuhan akar umbi di Keat Hong dan Marsiling.



"Arah baru ini tidak bermakna budaya dan bahasa akan diketepikan, tetapi kini komponen sosial turut menjadi antara keutamaan MAEC. Perkembangan ini memberi mereka matlamat baru untuk dikejar," kata Encik Zaqy.



Pemerhati politik dan zamil di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata kekuatan Mesra dalam aspek budaya membuka peluang baginya mendekati masyarakat melalui 'pendekatan lunak' atau cara 'soft approach'.



"Kita tahu tentang Muis dan Mendaki dan peranan yang mereka mainkan, namun dalam aspek budaya, Mesra juga ada kekuatan.



"Kita tidak boleh lari daripada isu-isu yang menyentuh identiti kita, di mana agama Islam adalah nadi bagi masyarakat. Namun, Mesra boleh memasyarakatkan dasar-dasar daripada pihak wewenang kepada masyarakat menerusi budaya," kata Dr Norshahril.



Kegiatan MAEC mendapat perhatian dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) Perdana Menteri Lee Hsien Loong bulan lalu yang mengalu-alukan pembentukan perikatan M³ dan menggesa masyarakat Melayu bekerjasama dengan M³ untuk membangun masyarakat.



Menyusuli itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata MAEC dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - yang menyelaras kegiatan MAEC - boleh menyepadukan sumber dengan Muis dan Mendaki, untuk mendekati masyarakat dan menghulur bantuan yang memberikan kesan lebih mendalam.



"Mesra, yang mempunyai rangkaian akar umbi meluas, boleh menyampaikan bantuan yang dikendalikan oleh Muis dan Mendaki kepada golongan yang ditujukan, di kawasan kejiranan mereka sendiri. Justeru, saya ingin mempertingkat keupayaan Mesra untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat di fasa terakhir atau last mile delivery," kata Encik Masagos.



Beberapa pengerusi MAEC yang dihubungi BH berkata mereka sedang berusaha menghapus imej lama dengan menjalankan kegiatan yang lebih relevan dengan keperluan masyarakat yang telah berubah.



"Bagi saya, kegiatan seperti dangdut dan karaoke boleh dilakukan di rumah individu.



"Sebaliknya, ruang yang dikongsi ini boleh digunakan dengan lebih baik untuk memanfaatkan masyarakat," kata Cik Rahidah Mohd Noor, pengerusi MAEC Marsiling.



Bersependapat, pengerusi MAEC Keat Hong Cik Junaidah Tarjo, berkata kegiatan yang diadakan harus mampu menarik minat semua lapisan masyarakat, daripada belia hingga warga emas.



Laporan lain: Zaqy yakin golongan karyawan akan tampil sebagai relawan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >