MAHKAMAH Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 377A dalam Kanun Jenayah – yang menganggap seks antara lelaki sebagai jenayah – akan terus dikekalkan namun tidak boleh digunakan untuk mendakwa lelaki yang mengadakan seks dengan lelaki lain.
Keputusan oleh panel lima hakim, yang disampaikan oleh Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon, itu menyusuli tindakan undang-undang yang diambil tiga lelaki yang mendakwa bahawa undang-undang itu melanggar perlembagaan.
Tiga lelaki itu ialah doktor perubatan umum (GP) yang telah bersara serta aktivis bagi hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Dr Roy Tan Seng Kee; pengacara lagu, Encik Johnson Ong Ming; dan mantan pengarah eksekutif badan tidak meraih keuntungan LGBT Oogachaga, Encik Bryan Choong.
Mahkamah kekal dengan kedudukan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak boleh diambil disebabkan kenyataan yang dibuat di Parlimen oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada 2007 dan kenyataan media oleh Peguam Negaram, Encik Lucien Wong, pada 2018.
Kenyataan itu mencerminkan kedudukan pemerintah bahawa undang-undang tersebut akan dikekalkan tetapi tidak akan dikuatkuasakan secara proaktif.