Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KES AJARAN YANG DIDAKWA SESAT

Mahkamah tangguh perbicaraan kes saman sebab dakwaan masih disiasat polis, Muis

Sep 21, 2022 | 05:30 AM



MAHKAMAH Tinggi memutuskan untuk menangguhkan satu perbicaraan kes saman fitnah berhubung satu dakwaan berkenaan ajaran sesat.



Perbicaraan yang difailkan oleh empat individu ke atas tiga individu lain itu ditangguhkan kerana kes masih disiasat polis dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Keempat-empat plaintif yang mengemukakan saman itu ialah Encik Mohd Razif Radi, Cik Maznah Masop, Cik Marlinah Ahmad dan Cik Shafarina Sujak.



Tiga defendan yang berdepan tuntutan saman fitnah itu ialah Encik Azman Mohamed, Encik Ahmad Zainuddin Mohd Rashaid @ Ahmad Zainuddin Md Yusof dan Encik Damanhuri Abas.



Encik Mohd Razif, yang merupakan plaintif pertama, didakwa sebagai memimpin dan menyebarkan ajaran sesat, yang dihadiri tiga plaintif yang lain.



Keputusan mahkamah diumumkan dalam satu kenyataan bertulis kepada pihak plaintif dan defendan pada 29 Ogos lalu dan diperlihatkan kepada Berita Harian (BH) oleh seorang sumber.



Dalam keputusannya, hakim kes saman tersebut, Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi, Encik Navin Anand, berkata:



"Tidak boleh dipertikaikan bahawa isu utama yang harus ditentukan dalam kes ini adalah sama ada ajaran yang disebarluaskan oleh plaintif pertama dalam kumpulan yang dihadiri plaintif kedua hingga keempat adalah sesat di bawah undang-undang Islam.



"Jadi ini merupakan isu utama yang ditimbulkan dalam pertikaian ini, dan yang mana ia masih disiasat oleh Muis dan SPF (Pasukan Polis Singapura)."



Atas dasar ini, kes hanya akan didengarkan selepas siasatan selesai dijalankan oleh Muis dan pihak polis atas dakwaan ajaran sesat dipimpin Encik Mohd Razif selaku plaintif pertama, atau enam bulan dari tarikh perintah mahkamah itu, menurut kenyataan itu.



Jurucakap polis mengesahkan kepada akhbar ini Khamis lalu bahawa kes ajaran sesat itu "masih berjalan".



Dalam jawapannya kepada BH Jumaat lalu, Muis pula menyatakan: "Muis telah menamatkan satu siasatan menyeluruh terhadap kes ini dan satu laporan polis telah dibuat pada 24 Ogos 2021. Muis pada masa ini sedang membantu pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan ini."



Mahkamah dalam mencapai keputusannya turut menimbangkan peranan Muis dalam membuat keputusan bagi isu utama yang dihadapi, selain sebarang risiko yang boleh ditangani dengan membenarkan penangguhan secara bersyarat.



"Isu utama juga adalah soalan menyentuh undang-undang Islam, dan pokoknya, kedua-dua pihak menerima hal ini, dan ia tidak boleh diputuskan tanpa penglibatan Muis," tegas Encik Navin dalam keputusannya.



Memandangkan peranan Muis dalam hal-hal menyentuh agama Islam di Singapura, dapatan atau tanggapan Muis tentang ajaran yang disebarluaskan akan tentunya mengetengahkan bukti dan boleh dibentangkan bagi memperjelaskan kedudukan dalam pertikaian ini, terang Encik Navin lagi.



Dalam keputusannya itu juga, beliau menyatakan bahawa Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menjelaskan di Parlimen bahawa kes ajaran sesat ini masih dalam siasatan polis dan Muis.



Dalam jawapannya pada 5 April 2021, sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Aljunied Encik Mohd Faisal Manap, Encik Masagos telah menyatakan Muis sedang menyiasat "kes seorang individu yang didakwa menyebarluaskan ajaran sesat" dan Muis "akan mengongsi dapatannya kepada umum apabila bersedia".



Encik Masagos mengulangi jawapan serupa dalam jawapannya pada 1 November 2021, menyatakan kes masih disiasat polis.



Pada 4 Julai lalu, Encik Shanmugam juga menyatakan di Parlimen siasatan masih berjalan.



Dalam tuntutan saman malu ini, keempat-empat plaintif diwakili peguam, Encik Simon Tan dari Attorneys Inc LLC.



Ketiga-tiga defendan pula diwakili dua peguam, Encik Victor Leong dari firma Audent Chambers LLC dan Cik Angela Phoon dari firma guaman Oon & Bazul LLP.



Saman fitnah dikemukakan pada 11 Februari lalu menyusuli laporan yang disiarkan akhbar The Straits Times (ST) bertarikh 9 November 2020 bertajuk Self-styled prophet said to have five spiritual wives (Lelaki menyamar sebagai nabi dikatakan punya lima isteri batin).



Dalam samannya itu, para plaintif mendakwa bahawa Encik Azman dan Encik Zainuddin memfitnah mereka menerusi laporan akhbar itu.



Dalam samannya ke atas Encik Damanhuri pula, plaintif mendakwa beliau telah memfitnahnya dengan membuat wawancara dan mengemukakan beberapa kenyataan yang dimuatnaik ke laman Facebooknya sendiri dari 21 November 2020 ke 29 Oktober 2021.



Selain menuntut ketiga-tiga defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis - sama ada di dada akhbar mahupun di laman Facebook, para plaintif juga menghendaki para defendan mengaku kesalahan yang dilakukan dan jaminan untuk tidak lagi membuat sebarang kenyataan fitnah ke atas pihak plaintif.



Pihak plaintif juga menuntut pampasan ganti rugi antara $70,000 dengan $120,000 daripada ketiga-tiga defendan.



Semasa kes dibentangkan di depan Encik Navin, peguam plaintif memberi hujah bahawa Mahkamah tidak perlu membenarkan penangguhan kes dan boleh menggunapakai seksyen 32(7) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla) bagi mendapatkan pandangan Muis sama ada ajaran yang dibawakan anak guamnya adalah sesat di bawah undang-undang Islam atau tidak.



Namun dalam keputusan bertulisnya, Encik Navin berkata:



"Saya tidak fikir ini adalah haluan lebih baik untuk kes ini. Melihat kepada potensi kes ini yang sensitif (di mana perkara ini telah dibangkitkan di Parlimen sebanyak tiga kali), adalah tidak realistik untuk menjangkakan Muis memberi pandangan di bawah seksyen 32(7) Amla sebelum siasatan selesai dijalankan.



"Memandangkan prosiding mahkamah harus menunggu hasil keputusan siasatan, kelihatannya tidak ada banyak faedah (dari segi masa dan kos) untuk meneruskan saman ini pada ketika ini.



"Sedang isu utama dalam pertikaian ini tidak boleh diputuskan tanpa penglibatan Muis, dan memandangkan siasatan Muis telah berjalan sejak November 2020, satu penangguhan sementara kita menunggu hasil siasatan merupakan jalan paling adil dan amat berkesan dalam menghuraikan pertikaian ini dan membawa kepada keadilan."



Mahkamah memerintahkan pihak plaintif membayar kos bagi permohonan penangguhan ini - $5,000 kepada pihak Encik Azman dan Encik Zainuddin dan $4,400 untuk Encik Damanhuri.




  • Jurucakap polis mengesahkan kes ajaran sesat yang didakwa dipimpin Encik Mohd Razif Radi "masih berjalan".

  • "Muis telah menamatkan satu siasatan menyeluruh terhadap kes ini dan satu laporan polis telah dibuat pada 24 Ogos 2021. Muis pada masa ini sedang membantu pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan ini." - Kenyataan Muis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >