MAHKAMAH Tinggi semalam mengarahkan Parti Demokratik Singapura (SDP) untuk membayar kos guaman sebanyak $7,000 dan pembayaran yang munasabah kepada Peguam Negara.
Mahkamah itu juga mendapati bahawa SDP telah sengaja menerbitkan kenyataan palsu, menurut satu kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.
Sebelum ini, SDP telah membuat permohonan untuk mengetepikan Arahan Pembetulan yang dikeluarkan terhadapnya semasa tempoh Pilihan Raya Umum 2020.
Arahan itu dikeluarkan berkenaan artikel di laman Facebook SDP, yang mendakwa bahawa Ketua Eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ketika itu, Dr Cheong Koon Hean, telah berkata dalam satu Ceramah Institut Pengajian Dasar (IPS)-Nathan 2018 bahawa "kepadatan penduduk" Singapura (berdasarkan jumlah keluasan tanah) akan meningkat kepada 13,700 setiap kilometer persegi dan populasi Singapura akan meningkat kepada hampir 10 juta menjelang 2030.
Pada 10 Mei 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SDP dan mengekalkan Arahan Pembetulan tersebut.
Mahkamah mendapati bahawa SDP telah menyampaikan kenyataan palsu.
Khususnya, Dr Cheong tidak mencadangkan atau membayangkan bahawa populasi Singapura akan meningkat kepada hampir 10 juta menjelang 2030, kata AGC.
Dr Cheong sebenarnya secara jelas merujuk kepada "kepadatan hidup" di Singapura yang mencapai sebanyak 13,700 setiap kilometer persegi menjelang 2030, iaitu angka yang dikira hanya berdasarkan tanah yang tersedia untuk kawasan bandar, dan bukan jumlah keluasan tanah.
"Memandangkan SDP secara palsu memaparkan apa yang dikatakan oleh Dr Cheong dalam Ceramah IPS-Nathan 2018 itu, Mahkamah mendapati SDP telah menyampaikan kenyataan fakta palsu dan Arahan Pembetulan itu dikeluarkan dengan betul.
"Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa SDP sedar sepanjang masa yang relevan, termasuk sebelum SDP menerbitkan Artikel SDP, bahawa Dr Cheong telah merujuk kepada "kepadatan hidup" (berdasarkan tanah yang tersedia untuk kawasan bandar) dan bukannya "kepadatan penduduk" (berdasarkan jumlah keluasan tanah)," kata AGC.
Ini kerana HDB telah menerangkan perkara ini secara jelas dalam artikel forum The Straits Times dua minggu selepas Ceramah IPS-Nathan Dr Cheong pada 2018, dan Mahkamah mendapati bahawa SDP sedar tentang penjelasan ini.
Dalam keadaan itu, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa SDP dengan sengaja memasukkan kenyataan palsu itu dalam artikelnya, walaupun parti itu sedar kenyataan itu palsu, dan mahkamah telah mengarahkan SDP untuk membayar kos, kata AGC.