Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Mahu pastikan anak derita tulang rapuh berjaya, berdikari, capai impian

Jun 19, 2020 | 05:30 AM

SEPANJANG kehidupannya, Tamimi Pohan tiada keupayaan berjalan dengan sendiri, sebaliknya bergantung pada kerusi roda yang menjadi penemannya kebanyakan masa.

Mengalami penyakit tulang rapuh atau dikenali sebagai osteogenesis imperfecta, Tamimi, 15 tahun, sudah mengalami lebih 70 keretakan termasuk di kaki, tangan dan tulang belakangnya sejak lahir, gara-gara penyakit ini yang tidak sembuh.

Kini, keluarganya sedang berusaha mengumpulkan dana lebih $60,000 untuk membiayai pembedahan Tamimi dan pada masa yang sama, bagi persekolahannya.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), ibu Tamimi, Cik Sarina Siregar, berkata semua anggota keluarganya termasuk beliau sendiri mengalami penyakit kronik.

Anak sulungnya mengalami epilepsi, juga dikenali sebagai sakit sawan.

Dalam pada itu, ibunya yang berusia 86 tahun mengalami demensia, dan menghidapi glaucoma, serta barah buah dada tahap empat.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, suaminya pula baru sahaja kehilangan pekerjaan beberapa bulan lalu, justeru Cik Sarina kini menjadi pencari nafkah tunggal.

Beban kewangan yang ditanggung amat berat sekali sehingga Cik Sarina berkata beliau terpaksa mengumpul dana di wadah GoGetFunding, dan dalam pada itu, mereka sekeluarga membuat jualan lelong termasuk barang lama, mainan dan buku di Facebook.

"Kami bukan sekadar duduk menunggu bantuan datang. Kami sedang cari cara untuk hidup dan bertahan," katanya.

Pegawai pentadbiran itu meluahkan bahawa keluarganya tersepit di tengah-tengah kerana berada di bawah kategori pendapatan pertengahan.

"Mempunyai anggota keluarga yang berkeperluan khas dan mengalami penyakit kronik makan perbelanjaan yang lebih besar daripada pendapatan bulanan kami yang kami bawa pulang setiap bulan. Ini membuatkannya sukar memenuhi semua keperluan. Sebagai keluarga dengan pendapatan pertengahan, kami tersepit kerana mendapatkan bantuan agak sukar," katanya di laman GoGetFunding.

Menceritakan tentang pembedahan yang perlu dilalui Tamimi, Cik Sarina berkata baru-baru ini, batang besi di lutut kiri Tamimi telah beralih daripada kedudukan asalnya, justeru pembedahan itu bertujuan menggantikan batang besi tersebut.

Batang besi itu membantu mengurangkan keretakan tulang kaki Tamimi.

Dalam pada itu, Cik Sarina juga memerlukan dana untuk membiayai persekolahan Tamimi supaya remaja itu dapat menyelesaikan pendidikan sekolah menengahnya.

Untuk ke sekolah, mereka menggunakan khidmat pengangkutan mesra kerusi roda London Cab yang bernilai $1,620 sebulan.

Disebabkan keadaan tulang Tamimi yang mudah rapuh, Cik Sarina berkata mereka perlu mengurangkan pergerakan mendukungnya dan memegangnya, justeru pengangkutan khas perlu diatur.

"Walaupun dia tidak mampu berdiri dan berjalan sendiri, dia budak lelaki yang ceria dan aktif yang suka ke sekolah dan berada bersama rakan-rakannya. Dia individu yang berazam kuat dan mahu berdikari," kata ibu dua anak itu.

Sejak pertengahan Januari, Tamimi, pelajar menengah dua aliran Normal Akademik, tidak menghadiri sekolah kerana Cik Sarina berkata selain keadaan anaknya yang kurang sihat, beliau juga tidak mahu mengambil risiko bagi kesihatan anaknya disebabkan Covid-19.

Kini, Tamimi dengan bantuan keluarganya sedang membuat jualan lelong menerusi Facebook 'Live' untuk mencari dana buat pembedahan dan persekolahannya.

Dinamakan Potato Shop, Tamimi boleh dilihat di jualan lelong Live, menjual barang kepada orang ramai dalam talian.

Tamimi, yang juga gemar melukis dan mempunyai 'rakan khalayan' bernama Chip, telah mereka T-Shirt untuk dijual.

T-Shirt itu mengandungi lukisan 'rakannya' Chip yang berambut biru.

Cik Sarina berkata:

"Saya mahu anak saya berjaya dalam hidup, berdikari dan mencapai impiannya.

"Tidak ada orang yang mahu dilahirkan kurang upaya secara fizikal, termasuk juga anak saya, Tamimi.

"Dia perlukan kasih sayang dan sokongan daripada keluarga serta masyarakat untuk teruskan kehidupannya, berdikari dan mempunyai masa depan cerah seperti orang normal."

Sesiapa yang ingin membuat sumbangan boleh melakukannya menerusi https://gogetfunding.com/tamimis-ride-to-school-4/.


"Saya mahu anak saya berjaya dalam hidup, berdikari dan mencapai impiannya.
Tidak ada orang yang mahu dilahirkan kurang upaya secara fizikal, termasuk juga anak saya, Tamimi.
Dia perlukan kasih sayang dan sokongan daripada keluarga serta masyarakat untuk teruskan kehidupannya, berdikari dan mempunyai masa depan cerah seperti orang normal."

- Cik Sarina Siregar, ibu Tamimi Pohan yang menderita penyakit tulang rapuh.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3