Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mahu pelajar terap kesantunan Melayu

Oct 13, 2019 | 05:30 AM



Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). Agab bertujuan mengiktiraf guru bahasa Melayu yang cemerlang menggalak dan meningkatkan penggunaan bahasa, melalui pengajaran dan pembelajaran. Empat anugerah diberikan dalam dua kategori - Teladan dan Perangsang. Seramai lapan guru merupakan finalis Agab tahun ini. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) mengetengahkan dua finalis menjelang majlis penyampaian Agab pada 9 November nanti.




SEBAGAI guru bahasa Melayu, Cik Norasiken Mohd Noor bukan sahaja bertanggungjawab mengajar bahasa itu kepada muridnya.



Lebih daripada itu, guru yang berkhidmat di Sekolah Perempuan Haig itu berkata beliau juga bertanggungjawab mendidik muridnya dengan nilai orang Melayu.



"Saya mendapat kepuasan sebagai seorang guru apabila saya lihat anak murid saya menunjukkan ciri-ciri kesantunan orang Melayu, berbual dengan sopan, jalan menunduk di hadapan orang serta bersalaman dengan orang yang lebih tua daripada mereka.



"Bagi saya, ciri-ciri ini lebih penting daripada kejayaan akademik kerana nilai murni dalam diri itu tiada tandingannya," kata Cik Norasiken.



Guru berusia 27 tahun itu juga sentiasa memastikan kelas bahasa Melayu beliau relevan dengan kehidupan harian muridnya.



Sebagai contoh, beliau menggunakan teknologi untuk menggalak muridnya mencuba dan untuk menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu masih relevan dengan perkembangan teknologi.



Sementara itu, beliau juga percaya budaya Melayu harus diajar melalui pengalaman.



Oleh itu, menerusi Minggu Dwibahasa di sekolahnya, beliau memastikan bahawa setiap peringkat akan didedahkan kepada budaya dan adat Melayu yang relevan dan menarik bagi mereka.



"Apabila murid faham makna di sebalik sesuatu budaya dan adat itu, barulah dapat mereka kaitkan dengan kehidupan mereka.



"Sebagai seorang guru, ia menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan bahawa setiap aktiviti yang dilakukan itu bermakna," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga menghadapi cabaran menggalak muridnya membaca buku bahasa Melayu.



Ini antara lain kerana muridnya mendapati buku bahasa Melayu yang seringkali terdapat di perpustakaan berlatarkan kehidupan yang berbeza dan tidak relevan dengan kehidupan mereka, lantas membosankan.



Ini mendorong Cik Norasiken menggunakan buku hasil penulisan penulis Singapura seperti buku Mat Karipap dan Negeri Setengah Jalan dalam kelasnya.



Selain membaca buku itu bersama muridnya, beliau juga meluangkan masa untuk menerangkan kosa kata yang sukar serta melakukan pelbagai aktiviti bersama termasuk berlakon, menyanyi dan menari.



Selain menjalankan amanah sebagai guru bahasa Melayu, beliau juga memainkan peranan sebagai penolong ketua tingkatan (dalaman) bagi peringkat darjah empat dan anggota Pasukan Pembangunan Pelajar (SDT) di sekolahnya.



Ini antara lain memerlukannya menangani masalah disiplin murid, bekerjasama dengan guru untuk memastikan kebajikan murid dan guru terjaga serta bekerjasama dengan ibu bapa untuk memastikan pengalaman pembelajaran anak mereka dapat dimaksimumkan sebaiknya.



Beliau juga merupakan guru penyelaras bagi skim bantuan kewangan (FAS) di sekolahnya.



Ini pula antara lain memerlukannya bekerjasama dengan guru dan ibu bapa untuk menyediakan peluang yang sama rata bagi setiap murid mencapai potensi mereka sepenuhnya.



"Saya memegang prinsip bahawa situasi kewangan mereka tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi mereka mencuba dan meneroka pelbagai bidang.



"Saya seringkali berkongsi dengan murid saya bahawa yang membezakan kejayaan kita nanti bukanlah isu kewangan. Namun, kegigihan dan ketekunan kita yang akan menjamin kejayaan kita," kata Cik Norasiken.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >