Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Setempat0

Majikan sesuaikan pejabat bagi mudahkan Riz bekerja

Mantan penyampai berita yang hidap penyakit motor neuron bersyukur dengan keprihatinan serta sokongan majikan dan rakan sekerja
Jul 16, 2019 | 05:30 AM

LANTAI bilik air anti-gelincir, butang kecemasan serta palang pemegang yang telah dipertingkat.

Ini merupakan antara perubahan yang dibuat kepada tandas kurang upaya yang terdapat di pejabat di mana hos Riz Sunawan bekerja.

Bukan itu sahaja. Bahkan ruang tempat duduknya di pejabat juga diluaskan agar beliau mempunyai tempat lebih besar untuk mengemudi kerusi rodanya.

"Dengan peningkatan dan perubahan ini, ia memudahkan saya untuk bergerak ke sana sini di dalam pejabat.

Berita Popular

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keprihatinan dan sokongan yang diberikan majikan saya," ujar Riz.

Mantan pembaca berita berusia 40 tahun ini yang nama sebenarnya ialah Mohammad Asri Sunawan, merupakan Ketua Perhubungan Strategik di sebuah badan berkanun dan telah bekerja di sana lebih empat tahun.

Enggan mendedahkan nama tempat kerjanya, Riz berkata beliau rasa terharu apabila majikannya itu sudi membuat penyesuaian untuk membantunya.

Riz disahkan menghidap sejenis penyakit motor neuron (MND) - yang juga dikenali sebagai 'amyotrophic lateral sclerosis' atau ALS.

MND menyebabkan sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang yang dipanggil 'motor neuron' tidak lagi berfungsi atau dinamakan 'neurodegeneration'.

Seseorang yang menghidapi penyakit ini akan mengalami kesukaran bergerak, bercakap dan akhirnya bernafas.

Penyakit ini, yang juga merupakan penyakit sama yang dihidapi saintis Stephen Hawking, buat masa ini tiada penawarnya.

Sebagai membantu pergerakannya semasa di pejabat, pasukan daripada Persatuan bagi Orang Kurang Upaya (SPD) atau persatuan yang memberikan khidmat kepada mereka yang kurang upaya telah ke pejabatnya.

Mereka telah bertemu dengan pihak pengurusan bangunan untuk memberikan saranan bagaimana memudahkan pergerakan pesakit seperti itu.

Selain itu ahli terapi Riz di SPD juga telah mengajar rakan sekerjanya tentang cara dan teknik sesuai untuk membantunya sekiranya beliau terjatuh di tempat kerja.

Kesemua lapan rakan sekerja Riz termasuk ketuanya telah menyertai sesi yang dijalankan SPD itu.

Riz, yang juga perlu mengikuti sesi terapi dua kali seminggu, tidak perlu datang ke pejabat (pada hari-hari di mana belia menjalankan terapi) agar beliau dapat mengawal tahap tenaganya dengan lebih baik lagi.

"Mereka memberi saya kelonggaran untuk bekerja dari rumah agar dapat mengawal tahap keletihan yang teramat sangat.

"Inilah antara kesan ke atas mereka yang menghidapi penyakit ini," ujarnya.

Dalam satu laporan mengenai Riz yang telah diterbitkan Berita Minggu kelmarin, Duta Bahasa yang dilantik pada 2010 ini masih mahu terus aktif menyumbang kepada aktiviti bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Beliau masih merupakan anggota Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018/2019 dan merupakan Timbalan Setiausaha Kedua Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Mengulas mengenai kecekalan dan penglibatan Riz yang bersemangat mahu terus memartabatkan bahasa Melayu, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) yang juga penasihat Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:

"Kami di MLCS rasa amat beruntung untuk mendapat seorang duta bahasa seperti Riz yang bukan sahaja berminat terhadap bahasa Melayu tetapi juga seseorang yang amat bertanggungjawab meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Beliau juga mempunyai sikap yang positif terhadap kehidupan."

Tambah Dr Faishal, Riz masih tetap menghadiri mesyuarat Majlis Bahasa Melayu dan masih tetap membantu menganjurkan aktiviti berkaitan Bulan Bahasa.


"Kami di MLCS (Pusat Bahasa Melayu Singapura) rasa amat beruntung untuk mendapat seorang duta bahasa seperti Riz yang bukan sahaja berminat terhadap bahasa Melayu tetapi juga seseorang yang amat bertanggungjawab meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran. Beliau juga mempunyai sikap yang positif terhadap kehidupan. Meskipun selepas mendapat tahu tentang penyakit yang dihidapinya, Riz masih tetap menggagahkan diri untuk menghadiri mesyuarat Majlis Bahasa Melayu. Beliau juga kekal aktif membantu menganjurkan aktiviti berkaitan bahasa Melayu selain berusaha mempromosi bahasa ibunda ini setiap peluang yang ada agar dapat terus mendedahkan dan mempertingkatkan penggunaan bahasa ini dalam kalangan pengguna."
- Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) yang juga penasihat Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map