Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Majikan tidak harus minta MC pekerja yang diuji positif Covid-19: Tan See Leng

Feb 23, 2022 | 05:30 AM



SEMUA majikan di sini tidak harus meminta sijil perubatan (MC) dari pekerja yang diuji positif bagi Covid-19 kerana sistem penjagaan kesihatan terus menghadapi tekanan dek jangkitan yang meningkat di tengah-tengah gelombang Omicron ini, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semalam.



Majikan dan jabatan sumber manusia (HR) syarikat harus membiasakan diri mereka dengan protokol kesihatan Covid-19 semasa dan mengecualikan kakitangan daripada kembali ke tempat kerja bagi tempoh yang diperlukan, kata Dr Tan kepada media dalam satu wawancara.



Kakitangan juga tidak perlu memberikan memo pemulihan atau penilaian perubatan daripada doktor sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja selepas tempoh pengasingan yang diperlukan, kata beliau.



Rakyat Singapura yang mahukan rekod jangkitan rasmi boleh membuat janji temu untuk menjalani ujian pantas antigen (ART) dilakukan sendiri di bawah penyeliaan di salah satu pusat ujian digabungkan atau pusat ujian pantas di serata negara.



Ujian tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah sehingga 15 Mac ini dan keputusan ujian akan dipaparkan pada status HealthHub individu dalam tempoh 30 minit.



Mereka yang menjalani ART diselia di pusat ujian tersebut juga akan mendapat notifikasi SMS tentang keputusan ujian mereka, yang boleh digunakan sebagai bukti dokumen jangkitan masa lalu.



Dr Tan berkata tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan di sini dapat dirasakan, terutamanya oleh klinik perubatan umum (GP), poliklinik dan jabatan kecemasan (ED) hospital.



"GP dan ED melaporkan bahawa sebahagian besar pesakit yang berjumpa dengan mereka sama ada tiada gejala atau mengalami gejala ringan.



"Doktor juga telah berkongsi bahawa ramai pesakit telah berjumpa dengan mereka bagi tujuan mendapatkan MC semata-mata supaya mereka boleh menyerahkannya ke tempat kerja mereka," kata beliau.



"Saya ingin mengulangi bahawa lawatan ini tidak perlu dan ia berisiko menjejas standard penjagaan pesakit lain yang benar-benar memerlukannya," tambah Dr Tan.



Dr Tan berkata beliau membuat rayuan itu berdasarkan laporan di media sosial dan maklum balas yang diterima daripada rakan sekerja mengenai barisan panjang di klinik dan ED di sini.



"Galakan saya, gesaan kuat saya kepada semua adalah jika anda mengalami gejala ringan atau tiada gejala Covid-19, tidak perlu bagi anda pergi ke klinik GP, poliklinik atau ED hospital awam hanya untuk mendapatkan MC.



"Anda boleh memberitahu majikan anda bahawa anda tidak sihat dan anda telah diuji positif ART.



"Saya rasa penting untuk mendapatkan kerjasama semua, sokongan semua, dalam tempoh khusus ini, terutamanya memandangkan hakikat terdapat sedikit kekangan sumber," kata beliau.



Dr Tan berkata beliau memahami bahawa terdapat keprihatinan tentang perbuatan ponteng kerja tetapi menggesa jabatan dan pengurus HR agar lebih memahami.



"Ini hanyalah satu fasa yang sedang kita lalui.



"Anda tidak perlu menambah beban pentadbiran tambahan, atau halangan birokrasi, bagi seluruh proses ini, terutamanya dalam tempoh masa ini," kata beliau.



Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Encik Xie Yao Quan, di Parlimen minggu lalu, Dr Tan berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tidak menemui pertikaian yang timbul daripada majikan yang tidak mematuhi garis panduan protokol Covid-19, yang termasuk membenarkan pekerja mengasingkan diri di bawah Protokol 2 tanpa MC.



Protokol 2 melibatkan langkah mengasingkan diri di rumah bagi tempoh 72 jam pertama selepas diuji positif, mengambil ART selepas itu, dan mengakhiri pengasingan diri selepas mendapat keputusan negatif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >