Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MAJLIS PECAH TANAH SYARIKAT SANOFI

DPM Heng: SG boleh tingkat keupayaan hasil vaksin

Apr 21, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA akan lebih bersedia menghadapi pandemik masa depan dan sebarang kejutan ekonomi dengan meningkatkan keupayaannya untuk menghasilkan vaksin, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.



Bercakap semasa majlis pecah tanah kemudahan vaksin evolutif Sanofi di Tuas semalam, Encik Heng, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, berkata walaupun gelombang Omicron Covid-19 telah surut, varian baharu yang menjadi keprihatinan, masih boleh muncul.



"Walaupun apabila Covid-19 meninggalkan kita nanti, kita mesti menjangka dan bersiap sedia untuk pandemik seterusnya.



"Covid-19 telah memperkukuh peri-pentingnya kesediaan pandemik dan daya tahan rantaian bekalan.



"Kita tidak boleh leka apabila wabak itu tiada nanti," ujar Encik Heng.



"Dengan meningkatkan keupayaan kita untuk mengeluarkan vaksin di Singapura, rantau ini akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menangani wabak masa depan dan kejutan ekonomi yang menyusul nanti.



"Menempatkan kemudahan pengeluaran vaksin di sini juga akan membolehkan kami meneroka inovasi baru dalam pembuatan vaksin, dan dalam sains bioperubatan secara lebih meluas."



Syarikat gergasi farmaseutikal Perancis, Sanofi telah mengumumkan tahun lalu bahawa ia akan melabur 400 juta euro (S$637.8 juta) dalam tapak pengeluaran vaksin baharu di Singapura.



Ibu pejabat serantau APAC Sanofi telah terletak di Singapura sejak 1997, kata Encik Heng.



Kemudahan vaksin evolutif itu akan menjadi kilang pembuatan vaksin pertama Sanofi di Singapura, dan dijangka mewujudkan 200 pekerjaan baru di Singapura, tambahnya.



"Ini adalah bukti keyakinan anda terhadap nilai keupayaan sedemikian untuk rantau ini, dan keyakinan dalam kerjasama di antara Perancis dan Singapura," kata Encik Heng.



Kemudahan itu, yang dijangka menjalankan pengeluaran sepenuhnya menjelang akhir 2025, "didigitalkan sepenuhnya dan modular" serta akan dapat menghasilkan vaksin "dalam skala besar" untuk Asia, kata Sanofi dalam kenyataannya yang berasingan.



"Dengan memanfaatkan kedudukan Singapura sebagai hab inovasi serantau untuk industri penjagaan kesihatan, 'kilang masa depan' ini direka untuk membolehkan pembuatan pelbagai vaksin dan platform biologi yang lebih tangkas dan fleksibel, termasuk mRNA, enzim dan antibodi monoklonal," jelas kenyataan syarikat itu.



Pengeluar ubat itu melabur 900 juta euro dalam tempoh lima tahun untuk mencipta kemudahan vaksin evolutif baharu, dengan yang lain terletak di Perancis.



Menurut Encik Heng, kemudahan vaksin berevolusi direka untuk bertindak balas dengan cepat terhadap risiko pandemik masa hadapan, dengan kapasiti untuk menghasilkan "pada skala besar-besaran".



Kemudahan pembuatan vaksin biasanya hanya mampu menghasilkan satu vaksin pada satu masa, tetapi kemudahan itu akan membolehkan pengeluaran tiga hingga empat vaksin secara serentak, tambahnya.



"Modulariti dan fleksibiliti ini akan membolehkan pengeluaran vaksin yang lebih pantas apabila krisis kesihatan awam melanda," kata Encik Heng.



Selain itu, kemudahan itu direka untuk menjadi lebih cekap sumber dan untuk meminimumkan pengeluaran sisa, tambahnya.



Sementara itu, ketua vaksin Sanofi, Encik Thomas Triomphe menyifatkan dua tahun lalu sebagai "pengalaman pembelajaran yang penting" untuk sektor penjagaan kesihatan.



"Walaupun sistem kesihatan telah dicabar, kami telah melihat kuasa penjagaan pencegahan, terutamanya vaksinasi, untuk membantu negara menyelamatkan nyawa dan sistem kesihatan, serta memastikan sumber terbaik dijaga," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >