Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Majoriti pasukan 4G secara konsensus pilih Lawrence sebagai pemimpin

Apr 15, 2022 | 06:07 AM



PEMIMPIN 4G secara konsensus memilih Encik Lawrence Wong untuk mengetuai pasukan itu.



Sebelum itu, mantan Menteri Kabinet dan mantan Pengerusi Parti Tindakan Rakyat, Encik Khaw Boon Wan telah bertemu setiap seorang daripada mereka secara individu, untuk menyuarakan pandangan peribadi mereka secara rahsia dan untuk memudahkan konsensus baru mengenai pemimpin 4G.



Pandangan Perdana Menteri dan dua Menteri Kanan tidak diminta, kata PM Lee Hsien Loong dalam kenyataan semalam.



Encik Khaw mendapati bahawa majoriti besar mereka yang dirunding, menyokong Menteri Wong sebagai ketua.



Awal hari semalam, Encik Khaw memberi taklimat kepada Menteri Kabinet, serta Speaker Encik Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Encik Ng Chee Meng, mengenai penemuannya, dan semuanya menyokong keputusan Menteri Wong untuk mengetuai pasukan itu.



Keputusan ini kemudiannya dibentangkan dan disokong oleh AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) petang semalam.



Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat berkata pemimpin 4G sebulat suara bersetuju bahawa Encik Wong merupakan orang terbaik untuk memimpin Singapura dalam masa-masa sukar ini.



"Saya sangat gembira beliau telah menyahut tanggungjawab ini," kata Encik Heng.



Beliau berkongsi bahawa Encik Wong dan dirinya sendiri memasuki politik pada waktu yang sama dan kedua-dua mereka bermula di Kementerian Pendidikan (MOE).



Apabila Encik Heng menyertai Kementerian Kewangan (MOF), beliau telah meminta Encik Wong menyertainya sebagai Menteri Kedua.



"Beliau merupakan tambahan yang hebat kepada pasukan kami dan saya suka bekerja rapat dengannya dan (Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara)) Indranee (Rajah) berkenaan Belanjawan untuk menyokong perniagaan dan warga kita," ujar Encik Heng.



Dalam kiriman di Facebook itu, Encik Heng turut menganggap Encik Wong "tunggak penting dalam kerja MOF sepanjang Belanjawan pandemik kami, serta pemimpin yang tenang dan teliti dalam tindak balas pandemik kami".



Encik Heng menambah bahawa pemimpin Singapura seterusnya mesti mempunyai kesejahteraan warga Singapura dan negara ini dalam apa jua yang dilakukan.



Beliau juga mesti merupakan seseorang yang mempunyai integriti dan komitmen untuk berkhidmat, serta kebolehan mencorak langkah baru dan menyatukan orang ramai.



"Saya percaya Lawrence memiliki ciri-ciri ini.



"Saya mendapati dirinya seorang pemimpin yang mempertimbangkan perkara dengan teliti, mampu menyatukan orang ramai, dan mempunyai keyakinan untuk melakukan apa yang betul untuk Singapura," ujar beliau.



Namun, Encik Heng akur, Encik Wong berdepan dengan masa depan yang cukup mencabar. Katanya:



"Pada tahun-tahun akan datang, kita perlu mengemudi lebih banyak perubahan yang akan menjejas rakyat Singapura.



"Lawrence mempunyai tugas besar di hadapannya. Beliau mendapat sokongan dan keyakinan sepenuh hati saya, serta sokongan rakan-rakannya."



Sementara itu, AP PAP lain turut mengucapkan tahniah kepada Encik Wong atas pelantikannya sebagai ketua 4G.



Menulis di Facebook, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata, beliau gembira pasukan 4G telah mencapai keputusan mengenai pengganti ketua.



"Lawrence dan saya memasuki politik bersama-sama pada 2011.



"Saya amat menghargai persahabatan yang telah kami kongsi selama ini dan berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan beliau dan pasukan untuk menangani cabaran dan merebut peluang di hadapan kami," kata Encik Chan.



Beliau menambah bahawa meskipun Singapura kini mula bangkit daripada pandemik Covid-19, banyak ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, serta cabaran sosial yang perlu dihadapi bersama.



"Pasukan 4G akan terus bekerja rapat dengan warga Singapura untuk memperbaiki kehidupan mereka sambil merebut peluang meninggalkan Singapura yang lebih baik bagi generasi masa depan," ujar Encik Chan.



Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, pula berharap pemimpin dan pasukan 4G dipenuhi dengan "kebijaksanaan, keberanian dan kasih sayang".



MENCEBURI POLITIK



Sebelum menyertai politik, Encik Wong menghabiskan 14 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).



Beliau juga pernah menjadi Ketua Setiausaha Privet kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong antara 2005 dan 2008.



Beliau juga dibentuk oleh mentor seperti bekas penjawat awam tertinggi Encik Lim Siong Guan, yang akan menceritakan bagaimana pengalaman bekerja untuk pemimpin perintis Encik Goh Keng Swee.



Menceburi politik pada 2011, Encik Wong merupakan sebahagian pasukan PAP lima anggota yang bertanding di GRC West Coast di mana mereka memenangi sekitar 67 peratus undi.



Pada Mei 2011, beliau dilantik Menteri Negara bagi Kementerian Pertahanan dan Pendidikan, dan pada Jun tahun yang sama pula, dilantik ke Lembaga Pengarah Penguasa Kewangan Singapura (MAS).



Pada 2012 pula, Encik Wong dilantik Menteri Negara Kanan di Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian.



Encik Wong juga mengetuai pasukan yang mengusahakan pengiktirafan Taman Bunga Singapura sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang pertama di negara ini.



Beliau turut menerajui dasar kemasukan percuma muzium bagi semua warga dan penduduk tetap Singapura.



Pada 2013, beliau mengumumkan penubuhan Dana Belia Nasional berjumlah $100 juta bagi para belia memperjuangkan usaha kemasyarakatan dan sosial.



Sejak 2015, beliau bertanding sebagai sebahagian pasukan di GRC Marsiling-Yew Tee.



Encik Wong pernah berkhidmat sebagai Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Pendidikan.



Sebagai Menteri Pendidikan pula, Encik Wong telah menjadikan antara keutamaannya untuk meluaskan konsep merit melangkaui akademik.



Beliau juga mewujudkan peluang bagi golongan muda sebagai Pengerusi Jawatankuasa Laluan Pendidikan Universiti Melebihi 2015.



Selain memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan kini, Encik Wong turut merupakan pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.



MTF turut dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.




PM LEE MENGENAI PROSES PEMILIHAN



''Selepas proses perundingan, menteri Kabinet hari ini mengesahkan pemilihan Menteri Lawrence Wong sebagai ketua pasukan 4G. Keputusan ini telah disokong oleh semua AP pemerintah dalam satu kaukus parti petang ini...Keputusan melakukan peralihan ini adalah penting bagi Singapura. Ia akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan yang menjadi ciri khas sistem kami. Menteri-menteri mengakui bahawa hak untuk memimpin tidak boleh diwarisi. Encik Lawrence Wong dan pasukan lebih mudanya akan terus memberikan yang terbaik kepada warga Singapura, dan mewajarkan kepercayaan serta sokongan mereka.''
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.





KEPIMPINAN POLITIK BERDASAR SATU PASUKAN



Dari awalnya pada 1959, model kepimpinan politik kami bukan berkisar pada satu orang, tetapi satu pasukan. Setiap daripada kita menyumbang, melengkapi antara satu sama lain, dan memberikan yang terbaik kepada Singapura...Rakan-rakan saya dalam kepimpinan 4G telah berdiri bahu ke bahu antara satu sama lain dalam memerangi Covid-19. Pengalaman dua tahun yang lalu telah mengukuhkan perpaduan kami dan mengukuhkan azam kami untuk mengurus Singapura dengan selamat melalui krisis ini dan seterusnya. Bersama-sama dengan seluruh pasukan 4G, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan sepenuh hati, dan berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan setiap warganegara kita.''
- Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >