ORANG ramai dilihat beratur untuk membeli makanan semasa waktu makan tengah hari semalam di Pusat Penjaja Sementara Market Street (gambar), sedang bilangan pekerja lebih rendah dilihat di Kawasan Pusat Bandar (CBD) pada hari bekerja pertama selepas sekatan Covid-19 yang dipertingkat dilaksanakan di Singapura untuk membendung penularan virus itu di sini.
Kerusi dan meja yang ditutup tidak membenarkan pelanggan makan di pusat penjaja itu.
Pelanggan sebaliknya harus membawa pulang makanan mereka dan memakannya di tempat lain seperti di dalam pejabat, atau di rumah.
Di bawah sekatan yang bermula kelmarin dan berterusan hingga 13 Jun, menjamu selera di luar tidak lagi dibenarkan dan tempat makan dan pusat penjaja hanya boleh menawarkan khidmat penghantaran dan pembelian makanan bungkus dalam tempoh itu.
Ini bagi mengurangkan risiko penyebaran virus kerana kegiatan menjamu selera dianggap sebagai sekitaran berisiko lebih tinggi dengan orang ramai berkumpul dalam kawasan tertutup tanpa memakai pelitup.
Dalam tempoh itu juga, bekerja dari rumah kembali diamalkan di tempat kerja, dengan majikan harus memastikan yang kakitangan yang boleh bekerja dari rumah melakukan demikian.
Selain itu, had dua orang dalam setiap kumpulan dikenakan dan dua perhimpunan sosial dibenarkan setiap hari, sama ada di tempat awam atau untuk mengunjungi rumah.
Laporan lain: