Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MAKANAN MASA DEPAN - DAGING ASAL TANAMAN DIHASILKAN DI MAKMAL

Daging-daripada-tanaman: Inikah masa depan makanan kita?

Apr 21, 2019 | 05:30 AM



Daging 'buatan' yang dihasilkan daripada tanaman mungkin masih ganjil dan mengundang gambaran makanan menyerupai gumpalan tepung. Baru-baru ini, pemerintah mengumumkan sokongan bertambah bagi memperkukuh sektor penghasilan makanan di Singapura - termasuk menghasilkan makanan di makmal. Makanan seperti ini, termasuk daging asal tanaman, mungkin antara cara utama Singapura boleh menjamin bekalan makanan pada masa depan. Ikuti laporan oleh NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) di halaman ini dan halaman sebelah.



'DAGING' yang dihasilkan di makmal kini mula timbul dalam menu restoran makanan Barat setempat - satu trend yang dijangka terus meningkat, dengan sifat daging sedemikian yang kian mirip tekstur dan rasa daging sebenar.



Kesedaran yang meningkat dalam kalangan warga Singapura - tentang pilihan 'daging' yang didakwa lebih sihat ini - dan sokongan pemerintah bagi sektor ini juga berperanan dalam merancakkan penerimaannya.



Buat masa ini, sekurang-kurangnya 10 restoran dan pusat makanan di sini menawarkan daging-daripada-tanaman atau plant-basedmeat, dengan jumlahnya dijangka bertambah.



Minggu lalu, restoran makanan Barat halal FatPapas menjadi restoran pertama menawarkan daging buatan jenis ini kepada pelanggan di empat cawangannya di Singapura.



Menurut pengasas dan pemilik restoran itu, Sheik Haikel, jiwanya terpaut kepada daging-daripada-tanaman ini selepas kali pertama merasanya sekitar dua tahun lalu.



"Mula-mula, saya kurang yakin (daging-daripada-tanaman boleh menggantikan daging sebenar) tetapi kini saya percaya 100 peratus," ujarnya, yang juga seorang artis dan penghibur.



"Saya tidak akan menawarkannya jika saya rasa ia tidak disukai pelanggan... dan setakat ini, maklum balas daripada pelanggan baik," ujarnya lagi.



Restorannya menyajikan empat jenis hidangan yang menggunakan daging-daripada-tanaman yang dihasilkan Impossible Foods - syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.



Impossible Foods antara 'start-up' pertama yang menyertai pasaran yang berkembang ini dan antara pelabur utamanya ialah Temasek Holdings - syarikat pelaburan milik pemerintah Singapura.



Menurut syarikat itu, daging yang dihasilkannya tidak mengandungi gluten, hormon haiwan atau antibiotik. Ia juga diiktiraf halal. Ia menggunakan ragi yang diubahsuai dan proses penapaian untuk menghasilkan molekul mengandungi besi bernama heme, yang menyebabkan daging buatannya berwarna merah.



PASARAN YANG KIAN MELUAS



Pada 2017, Temasek Holdings menerajui pelaburan AS$75 juta ($103 juta) dalam Impossible Foods, yang sebelum itu juga disokong pelabur seperti pengasas Microsoft, Encik Bill Gates, dan peniaga dari Hongkong, Encik Li Ka-Shing.



Namun, pelaburan itu bukan yang pertama bagi Temasek dalam penghasilan produk 'haiwan' tanpa haiwan.



Pada 2016, ia melabur dalam Modern Meadow - syarikat berpangkalan di New York, Amerika, yang menghasilkan kulit 'haiwan' di makmal.



Menurut Reuters baru-baru ini, permintaan bagi 'daging' tanpa daging kian meningkat dan persaingan antara penghasilnya sengit.



Selain Impossible Foods, syarikat utama lain termasuk Beyond Meats dan Hungry Planet, dengan syarikat makanan tradisional seperti Nestle juga sedang cuba menembusi pasaran dengan menawarkan pati burger yang dihasilkan daripada tanaman.



Di Amerika, restoran makanan ringan seperti Burger King, White Castle dan Carl's Jr juga menawarkan burger daging-daripada-tanaman.



Perangkaan tentang pasaran di Singapura dan Asia sukar diperoleh, tetapi tahun lalu, penjualan keseluruhan daging-daripada-tanaman di Amerika tumbuh lebih 23 peratus dan kini melebihi AS$760 juta ($1 bilion), mengikut data penjualan Nielsen.



Di Singapura, usaha syarikat start-up setempat, Life3 Biotech, untuk menyertai pasaran produk protein gantian ini juga kian mendapat perhatian.



Sejak 2016, syarikat yang berpangkalan di makmal sains makanan dan teknologi di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu telah membangunkan produk gantian protein yang menurut pengasasnya, Encik Ricky Lin, lebih menyerupai ayam dan makanan laut dari segi tekstur dan rasa.



Walau beliau enggan memberikan butiran lanjut, Encik Lin berkata pihaknya menjangka memulakan penghasilan komersial tidak lama lagi. Tambahnya, keadaan telah banyak berubah sejak beberapa tahun lalu.



"Dulu, kami mengalami pelbagai cabaran, termasuk menambah kesedaran awam, kini kesedaran awam telah meningkat," ujar Encik Lin yang berkata produknya padat dengan khasiat, serat dan vitamin.



Secara am, harga daging buatan ini lebih mahal daripada daging biasa, tetapi ada petanda ia akan merosot pada masa depan.



Pada 2008, 500 gram daging lembu yang dihasilkan di makmal dianggar berharga sekitar $1 juta.



Selang lima tahun, pati burger pertama dihasilkan di makmal, dengan belanja $300,000.



Selang dua tahun, harga potongan daging yang sama menjunam menjadi sekitar $11.



Di FatPapas, harga set burger Impossible dijual dengan harga $18 - $3 lebih tinggi daripada set burger paling mahal yang dijualnya.



Dua tahun lalu, NTUC FairPrice mula menjual produk gantian protein jenama Quorn dari Britain dengan harga $5 bagi pek 300 gram.



Namun, melebihi harga dan kandungan khasiat, satu faktor yang memacu revolusi daging buatan ini ialah rasa dan tekstur daging buatan yang serupa dengan daging sebenar.



Hampir kesemua individu yang merasai burger daging-daripada-tanaman dalam tinjauan rambang Berita Minggu (BM) baru-baru ini berkata mereka menikmati burger itu dan tidak sedar ia bukan daging 'tulen'.



RAHSIA SEBALIK DAGING BUATAN



Secara kasar, daging yang dihasilkan di makmal boleh dibahagikan kepada dua jenis - daging yang dihasilkan daripada sel stem haiwan dan 'daging' yang dihasilkan keseluruhannya daripada protein tanaman.



Daging yang dihasilkan daripada sel stem haiwan juga digelar 'daging bersih' kerana prosesnya kurang mencemari udara, berbanding proses penternakan haiwan di ladang tradisional.



Menurut Pertubuhan Layanan Beretika bagi Haiwan (Peta), lebih 2,400 gelen air diperlukan untuk menghasilkan setengah kilogram daging, berbanding 25 gelen bagi menghasilkan 'daging' buatan.



Namun, bagi penganut Islam, melebihi manfaat daging buatan jenis ini, soal halal atau haram daging-daripada stem-haiwan tetap menjadi tanda tanya.



Menjawab pertanyaan BM, jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia sedang meninjau dan mengkaji isu sekitar sumber makanan baru ini.



Keadaan mungkin lebih jelas bagi daging yang dibuat 100 peratus daripada tanaman, yang dihasilkan dengan membentuk semula struktur protein pada peringkat molekul dan menggabungkannya dengan bahan lain.



Perisa dan pewarna makanan boleh dicampurkan kepada daging buatan jenis ini supaya ia lebih menyerupai daging.



Malah, pensyarah kanan program sains makanan dan teknologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Leong Lai Peng, berkata sesebuah syarikat juga boleh mencampurkan khasiat supaya ia setimpal dengan daging sebenar.



"Apa yang kurang boleh dicampurkan," kata Dr Leong, yang juga terlibat sebagai penasihat dalam penghasilan Veego.



PERI PENTINGNYA KEPADA SINGAPURA



Sebenarnya, daging yang dihasilkan di makmal telah wujud sejak 2013, tetapi ia mendapat perhatian baru di Singapura selepas pemerintah mengumumkan sokongan bertambah bagi sektor penghasilan makanan setempat, sebahagian strategi baru untuk menambah kemampanan bekalan makanan.



Menjelang 2050, permintaan makanan sedunia dijangka meningkat 60 peratus, dengan sumber penting bagi pertanian, seperti air dan tenaga, juga kian berkurangan.



Perubahan iklim pula dijangka menjejas hasil pertanian sehingga 25 peratus dalam tempoh yang sama.



Di Parlimen awal tahun ini, Menteri Sekitaran, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengumumkan bahawa Singapura telah menetapkan matlamat untuk menghasilkan 30 peratus makanan yang diperlukan menjelang 2030.



Buat masa ini, Singapura menghasilkan kurang 10 peratus makanan yang diperlukan.



Bagi menyokong usaha ini, dana sehingga $144 juta telah diperuntuk bagi program penyelidikan dan pengembangan (R&D) Singapore Food Story - sesuatu yang diumumkan pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, yang juga Menteri Kewangan, baru-baru ini.



Program itu menumpukan kajian kepada usaha penghasilan makanan yang mampan di kota, termasuk pertanian di bandar, akuakultur dan penghasilan protein biotech.



Perkembangan ini penting bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negara.




File

Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >