Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Makin tua, makin berisi

Masih kerja gunakan tenaga, ikuti perkembangan siasah dan beramal jariah
May 30, 2017 | 05:30 AM



Jangka hayat rakyat Singapura semakin panjang. Terdapat jangkaan bahawa seperlima penduduk Singapura akan berusia 65 tahun - mencapai 900,000 - menjelang 2030. Sedang sebahagian daripada mereka menghadapi cabaran meniti usia senja dengan penyakit dan kesunyian, ada yang masih aktif dan selesa meneruskan kehidupan. Kami ketengahkan beberapa contoh warga senja yang terus aktif. SUHAIMI MOHSEN (suhaimi@sph.com.sg) melaporkan.



ENCIK Hassanusi Osman, 68 tahun, seorang pekerja angkut dan punggah barang, tidak janggal malah rancak berbual mengenai perkembangan politik di Indonesia.



Perbincangan bersama beberapa pemerhati mengenai siasah negara itu - pertukaran dan orang dalam pucuk pimpinan, masalah rasuah, pilihan raya bagi gabenor Jakarta, dan hukuman penjara ke atas Bekas Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, atau Ahok, kerana dituduh menista Islam - kelihatan bersemangat. Pandangannya berteraskan maklumat terkini.



Manakan tidak.



Encik Hassanusi, yang sudah 28 tahun menjadi pengangkut barang di sebuah syarikat khidmat angkut barang dan pindah rumah K C Dat, melayari YouTube menggunakan telefon bimbitnya setiap malam.



Selain perkembangan politik, beliau mengikuti ceramah dan kuliah agama menerusi YouTube, di samping gemar mendengar lagu-lagu Jawa.



"Telefon ini jadi teman setiap malam," kata Encik Hassanusi yang telah kematian isteri hampir dua tahun lalu.



Beliau cenderung mengikuti perkembangan Indonesia kerana bapanya berasal dari Indonesia.



"Jadi sikit-sikit mesti ikuti perkembangan di sana," kata beliau sambil menambah beliau gemar berkunjung ke Indonesia, khususnya Batam, apabila lapang.



Beliau dan beberapa rakan sedang giat membantu memperluas sebuah rumah tumpangan anak yatim Ya Bunayya di situ.



Dua minggu lalu, mereka berkunjung ke sana dan membelanjakan $700 membelikan barang-barang keperluan sepanjang Ramadan bagi rumah tumpangan tersebut.



Walau sudah memasuki usia senja, Encik Hassanusi, yang pernah menjadi askar, kemudian bekerja dalam bidang landskap, syarikat hawa dingin dan kini syarikat khidmat pindah, masih bertenaga.



"Untuk barang seberat 10-20 kilogram, saya masih boleh pikul," kata Encik Hassanusi, bapa tiga anak dan datuk lapan cucu, yang tidak mengalami penyakit berat kecuali tekanan darah rendah.



Beliau kini lebih banyak ditugaskan dalam gudang - "tidak berat sangat" berbanding semasa lebih muda yang memerlukan lebih banyak tenaga dan mampu mengangkut barang seberat 30-40 kilogram semasa bertugas di luar gudang.



Encik Hassanusi asalnya menjangka bersara pada usia 65 tahun tetapi syarikat itu tidak menamatkan khidmatnya dan beliau sedia bekerja selagi boleh - selagi khidmatnya diperlukan dan kesihatan mengizinkan.



"Kalau duduk rumah tidak kerja, bimbang bosan dan badan jadi lemah dan tidak sihat sebab saya dah biasa kerja keras sejak muda," katanya sambil menghimbau zaman tinggal di kuarters PUB - biasa pegang cangkul memanfaatkan tanah lapang menanam ubi dan buat arang.



Beliau tidak melakukan senaman tetap.



"Kerja saya juga sudah menjadi semacam senaman," kata beliau yang memakan suplemen Omega3 bagi menjaga kesihatan dan sekali sekala berjalan dari jalan raya utama jauh ke dalam kawasan kubur menziarah pusara isterinya.



Beliau terasa kehilangan isterinya yang menjadi peneman setiap hari selepas balik kerja.



Kini, beliau tinggal bersama anak perempuan di sebuah flat di Chua Chu Kang sementara menanti flat dua bilik Bina Ikut Tempahan (BTO) di Woodlands berdekatan Masjid Yusof Ishak siap dalam sebulan dua lagi.



Selain melayan cucu, beliau banyak menghabiskan masa di masjid antara maghrib dan isyak mendengar tazkirah agama atau mengisi masa bertemu teman di Masjid Al-Iman.



Setelah makan malam, beliau mencapai telefon bimbit melayari YouTube sehingga mata mengantuk, bangun sekitar 4.45 pagi untuk solat dan meninggalkan rumah sebelum 7 pagi ke tempat kerja.




INISIATIF GALAK WARGA TUA KEKAL AKTIF



Lebih ramai warga emas boleh kekal aktif menerusi inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pelan Tindakan Penuaan Berjaya. Ia merangkumi tiga bidang utama - Peluang Bagi Semua Peringkat Usia, Kampung untuk Semua Peringkat Usia dan Bandar Untuk Semua Peringkat Usia. Terdapat lebih 20 inisiatif untuk memberi lebih peluang warga emas menjaga kesihatan dan meneruskan pendidikan serta pembangunan mereka sambil menikmati kehidupan lebih sihat yang berpanjangan. Persatuan Rakyat (PA) telah menubuhkan Akademi Lanjut Usia bagi menggalak lebih ramai warga lanjut usia agar meneruskan pembelajaran sepanjang hayat dan mengamalkan gaya hidup aktif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >