ORANG ramai dijemput memberi maklum balas tentang cara mengukuhkan perlindungan bagi pekerja penghantaran, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi, yang kesemuanya dikenali sebagai pekerja platform.
Rundingan awam yang berlangsung hingga 15 Disember itu akan melengkapi rancangan Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat platform dan pekerja platform, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan semalam.
Pekerja sedemikian membentuk sekitar 3 peratus daripada tenaga kerja penduduk di Singapura.
Jawatankuasa penasihat itu telah mengenal pasti tiga bahagian utama bagi memberi pekerja platform masa depan yang lebih terjamin, iaitu memperbaiki kecukupan persaraan dan perumahan, mengukuhkan perlindungan kewangan sekiranya berlaku kecederaan semasa bekerja, dan mempertingkat perwakilan.
"Memandangkan ini adalah isu rumit dengan pelbagai tukar ganti, Jawatankuasa Penasihat berusaha mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang landskap platform.
"Jawatankuasa Penasihat juga mengalu-alukan maklum balas dan cadangan tentang cara setiap bidang keutamaan dapat ditangani dengan secukupnya dan dalam cara yang mampan," kata MOM.
Pengerusi jawatankuasa penasihat itu, Cik Goh Swee Chen, berkata pihaknya berhasrat mengemukakan cadangan yang menghasilkan penambahbaikan perlindungan ketara untuk pekerja platform.
"Pada masa sama, kami sedar akan keperluan bagi penyelesaian praktikal dan mampan untuk perniagaan dan pengguna.
"Bagi mencapai matlamat ini, kami sedang berunding secara meluas, dan akan mempertimbangkan dengan teliti sebelum mengongsi saranan kami tahun depan," katanya.
Orang ramai boleh mengambil bahagian melalui borang dalam talian di go.gov.sg/feedbackplatformworkers.