Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Makluman baru bantu majikan tingkat kesedaran mental kakitangan

Oct 07, 2020 | 05:30 AM

SATU makluman baru bagi membantu majikan meningkatkan kesejahteraan mental kakitangan mereka akan diterbitkan pada akhir tahun ini, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Ia bakal mengetengahkan beberapa daya usaha yang mampu dibuat contoh oleh syarikat, seperti memberi akses kepada perkhidmatan kaunseling oleh pihak luar tanpa mendedahkan nama kakitangan dan melatih penyelia untuk mengenal pasti simptom masalah kesihatan mental dengan lebih awal.

Menjawab soalan Encik Melvin Yong (SMC Radin Mas) di Parlimen semalam, Encik Zaqy berkata bahawa Penasihat Tiga Pihak mengenai Kesihatan Mental masih sedang menjalani rundingan.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang bekerjasama dengan majikan, kesatuan pekerja, pakar kesihatan mental dan kumpulan masyarakat awam, termasuk Jaringan Kesejahteraan Remaja.

Idea di sebalik cadangan itu untuk majikan dibincangkan Mac lalu sewaktu perbahasan Jawatankuasa Pembekalan MOM.

Encik Zaqy pada ketika itu berkata makluman ini akan membantu dalam memberikan nasihat kepada majikan bagaimana mereka dapat menyokong kesejahteraan mental para kakitangan mereka dengan lebih baik.

Beliau semalam menambah Penasihat Antara Agensi dalam menyokong kesejahteraan mental pekerja di bawah aturan kerja Covid- 19, yang diterbitkan April lalu, mungkin berfungsi sebagai rujukan yang berguna.

Ini mengandungi senarai sumber pihak luar yang dapat dipertimbangkan oleh majikan untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada kakitangan mereka.

"Majikan juga dapat memberi sokongan kepada pekerja mereka.

"Sebagai contoh, penyelia dapat melakukan pemeriksaan dengan pekerja, bertanyakan jika mereka menghadapi masalah, dan merujuk mereka kepada bantuan pihak luar jika diperlukan," kata Encik Zaqy.

Encik Yong juga bertanya apakah Penasihat Tiga Pihak akan membincangkan tentang isu masa bekerja berpanjangan yang dihadapi ramai pekerja, lebih-lebih lagi dengan penyesuaian bekerja dari rumah.

Akur dengan masalah itu, Encik Zaqy menekankan penting bagi pemerintah mengkaji semula bagaimana dapat mencapai keseimbangan itu dengan lebih baik.

Namun beliau menegaskan bahawa undang-undang "hak untuk berhenti bekerja selepas waktu bekerja" itu agak baru di seluruh dunia, dengan kebanyakan negara, termasuk Singapura, masih lagi meneliti hasilnya.

Belia turut menekankan bahawa dengan menguatkuasakan waktu kerja yang tetap, ia akan memberi kesan negatif kepada pekerja yang pada masa ini menikmati fleksibiliti menjalankan tugas pada siang hari dan bekerja pada waktu malam.

Namun begitu, Encik Zaqy berkata kebimbangan seperti itu penting dan dapat ditimbulkan sebagai sebahagian dari perbincangan tentang makluman tersebut.

Sementara itu, Encik Loius Ng (GRC Nee Soon) juga mengutarakan soalan sama ada makluman itu akan menyatakan dengan lebih jelas bahawa majikan tidak boleh meminta maklumat mengenai keadaan kesihatan mental seseorang, kecuali jika keadaan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan kemampuan mereka.

Memberi jawapan beliau, Encik Zaqy berkata: "Penasihat Tiga Pihak ini belum diumumkan, saya tidak dapat mengesahkannya. Tetapi pasti kita akan menelitinya."

Beliau menambah majikan kini tidak digalak menanyakan tentang maklumat seperti itu sewaktu proses permohonan pekerjaan, jika tidak diperlukan.

"Ini sesuatu yang saya rasa perlu kita pegang dengan erat... semestinya... kita ingin memastikan bahawa kesejahteraan pekerja kita dilindungi, baik dari keadaan kesihatan fizikal, dan juga keadaan kesihatan mental," ujarnya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian