Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Maliki: Asatizah perlu bangun kepimpinan wacana

Aug 28, 2019 | 05:30 AM



Asatizah memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Melayu/ Islam Singapura dalam kehidupan sosio-agama mereka. Dengan perubahan zaman dan konteks yang berbeza, peranan asatizah semakin berkembang. Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) telah ditubuhkan pada 8 Mac lalu untuk mendekati pelbagai rakan kongsi masyarakat dan menasihati Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi mengukuhkan usahanya membangunkan tenaga kerja asatizah. Dalam satu sesi dialog tertutup anjuran akhbar ini, beberapa asatizah dijemput berkongsi pandangan dan maklum balas mereka bersama pengerusi Cofa mengenai hal ini. Wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) melaporkan.



ASATIZAH masa depan harus bersedia melakukan lebih dari setakat memberi bimbingan asas agama sahaja.



Beliau mestilah mampu memberi nasihat agama yang tepat dan bernas berdasarkan konteks semasa apabila diperlukan.



Namun, lebih dari itu, adalah baik jika terlahir pembangunan kepimpinan wacana daripada golongan asatizah masa depan di sini.



Demikian visi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang dikongsi bersama Berita Harian selepas menghadiri sesi dialog tertutup bersama beberapa asatizah yang dianjurkan akhbar ini minggu lalu.



"Saya berkongsi visi berbentuk piramid - di dasarnya kita mempunyai kumpulan asatizah umum yang boleh menyampaikan ilmu agama dan memberi bimbingan agama yang baik berdasarkan konteks.



"Setelah itu, naik satu langkah, mereka yang memiliki set kemahiran dan kebolehan yang berbeza dan mampu menetapkan arah.



"Paling atas sekali, saya melihat pembangunan kepimpinan wacana iaitu asatizah yang mungkin dikenali di seluruh dunia yang mampu menghasilkan pengetahuan baru berkaitan dengan konteks Islam, dalam nada yang sama seperti kerjaya-kerjaya lain," ulas Dr Maliki yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa).



Cofa antara lain dianggotai Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, Dr Mohamad Maliki Osman, Dr Nazirudin Mohd Nasir, Dr Mohd Hanan Hassan, Ustaz Pasuni Maulan, Ustaz Ali Mohamed, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, Dr Mohamed Ali, Profesor Madya Seng Boon Kheng, Ustazah Kalthom Isa, Profesor Madya Suzaina Kadir, Dr Gog Soon Joo, Ustaz Abdul Mukhsein Md Shariff, Ustaz Tarmizi Wahid dan Encik Naseer Ghani.



Menurut Dr Maliki, isu-isu lebih besar akan timbul di masa depan.



"Sains bioperubatan, misalnya - apakah perspektif Islam mengenainya? AI (kecerdasan buatan), robot - apa makna (dan implikasi) semua ini dari sudut pandangan Islam?



"Jadi bila kita ada semua ini, kita harus sediakan laluan yang membolehkan pembangunan golongan asatizah agar kita dapat memupuk bakat dalam konteks tersebut. Insya-Allah suatu hari kita akan capai visi itu," jelas beliau.



Bagi memenuhi wawasan tersebut, perlu ada kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan.



Tambahnya:



"Saya rasa ia tergantung pada kita semua untuk bekerjasama. Cofa perlu bekerja rapat dengan Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) melakarkan program pembangunan bakat, dari segi sumber manusia, di mana kita melihat asatizah kita bergerak dalam piramid itu.



"Tidak semua boleh mencapai tahap tertinggi tetapi kita perlu sedar tentang usaha mewujudkan peluang bagi mereka yang mempunyai kemahiran dan bakat yang tepat serta kebolehan yang betul untuk disalurkan."



Justeru, bagi mencapai tahap tersebut, ilmu dan kemahiran yang dimiliki asatizah masa depan harus lebih baik.



Dalam perbincangan mereka mengenai isu lebih kompleks yang dihadapi masyarakat dan bagaimana asatizah perlu bersedia untuk melibatkan diri, Dr Maliki berkata apa yang jelas adalah kesedaran bahawa set kemahiran berbeza diperlukan oleh golongan asatizah baru.



Sehingga Julai 2019, terdapat sekitar 4,600 asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Dr Maliki dalam pada itu rasa berbesar hati menerima sokongan dari kalangan asatizah mengenai hal ini.



Antara isu baru termasuk soal hubungan seks sejenis oleh kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dan isu perkauman seperti 'brownface' yang menitikberatkan kepentingan memberi perhatian kepada sensitiviti kaum dan agama di sini.



Asatizah-asatizah yang terlibat sama dalam sesi dialog tertutup tempoh hari akur perlu ada sokongan untuk membolehkan mereka melaksanakan peranan mereka dengan lebih berkesan dalam masyarakat kontemporari seperti apa yang ada hari ini dan bergerak pada masa akan datang, katanya.



Ditemui selepas sesi dialog tersebut, penganalisis penyelidikan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustazah Cik Amalina Abdul Nasir, berkata peranan asatizah harus diperluas untuk memenuhi keperluan masyarakat secara am.



Ini kerana meskipun peranan asas asatizah kekal sama, iaitu memberi bimbingan agama, mereka tidak boleh berhenti setakat di situ sahaja.



"Masyarakat hari ini tidak hanya melihat asatizah sebagai tempat rujukan bagi isu-isu agama sahaja tetapi juga bagi isu sosial, dan ini mencerminkan kepercayaan mereka.



"Bergerak ke hadapan, saya rasa kita perlu melihat asatizah lebih dari setakat asatizah sahaja tetapi sebagai profesional yang pelbagai disiplin dan mempunyai pandangan yang progresif," kongsi Ustazah Cik Amalina.



Berkongsi pandangan serupa, Ustaz Muhammad Ashraf Anwar, berkata:



"Saya rasa kita semua sedar asatizah memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu Singapura dan akan terus memainkan peranan penting di masa depan.



"Jika kita tidak membangunkan golongan asatizah maka kita juga tidak akan membangunkan masyarakat kerana mereka menganggap asatizah sebagai tokoh yang mereka harapkan."



Beliau turut menambah bahawa dengan isu yang dihadapi yang semakin kompleks di dunia hari ini, asatizah harus bersedia berdepan dengannya secara unik dan inovatif.



"Dialog itu memberi gambaran tentang apa yang sedang berlaku, akan berlaku di masa depan dan bagaimana kita harus mempersiapkan diri untuk mengharunginya," ujar Ustaz Ashraf yang merupakan anggota lembaga Masjid An-Nahdhah.




"Masyarakat hari ini tidak hanya melihat asatizah sebagai tempat rujukan bagi isu-isu agama sahaja tetapi juga bagi isu sosial, dan ini mencerminkan kepercayaan mereka. Bergerak ke hadapan, saya rasa kita perlu melihat asatizah lebih dari setakat asatizah sahaja tetapi sebagai profesional yang pelbagai disiplin dan mempunyai pandangan yang progresif."
- Penganalisis penyelidikan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Amalina Abdul Nasir.



"Saya rasa kita semua sedar asatizah memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu Singapura dan akan terus memainkan peranan penting di masa depan. Jika kita tidak membangunkan golongan asatizah maka kita juga tidak akan membangunkan masyarakat kerana mereka menganggap asatizah sebagai tokoh yang mereka harapkan. Dialog itu memberi gambaran tentang apa yang sedang berlaku, akan berlaku di masa depan dan bagaimana kita harus mempersiapkan diri untuk mengharunginya."
- Ustaz Muhammad Ashraf Anwar, anggota lembaga Masjid An-Nahdhah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >