MENTERI Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Mohamad Maliki Osman, yang kini berada di Afrika Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan Singapura menjalin hubungan dengan benua itu, telah menemui beberapa pemimpin setempat, termasuk anggota masyarakat Melayu di Cape Town.
Dalam satu kiriman di laman Facebooknya, Dr Maliki mengongsi bahawa beliau telah menemui Timbalan Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, Cik Nomaindiya Mfeketo, di Cape Town bagi memperkukuh hubungan dua hala yang mesra antara Afrika Selatan dengan Singapura dan membincangkan bidang kerjasama baru.