MENTERI Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, membuat lawatan ke Filipina semalam dan hari ini.
Beliau melakukan kunjungan itu sebagai utusan khas Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, untuk menghadiri majlis pelantikan bagi Presiden dipilih Filipina, Encik Ferdinand Romualdez Marcos Jr.
Dr Maliki ditemani pegawai Kementerian Ehwal Luar, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu.
Encik Marcos diisytiharkan Parlimen Filipina sebagai presiden ke-17 negara tersebut pada 25 Mei lalu, menyusuli kemenangan besarnya dalam undian 9 Mei.
Encik Marcos menerima lebih 31.6 juta undian, atau 58.8 peratus daripada keseluruhan, menurut pengiraan akhir yang dikeluarkan Parlimen.
Puan Halimah dan Encik Lee telah menulis kepada Encik Marcos untuk mengucapkan tahniah kerana telah memenangi pilihan raya presiden Filipina bulan lalu.