Suka dengan e-pembayaran kerana mudah, pantas, selamat
SEMASA pandemik koronavirus ini, Cik Noraidah Abdul Rahim, 37 tahun, dan suaminya, pemain bola sepak negara, Encik Hassan Sunny, 36 tahun, telah membuka sebuah gerai nasi padang Oktober tahun lalu.
Gerai yang dinamakan Dapur Hassan itu terletak di sebuah kedai kopi sekitaran kawasan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan rumah sewa di Blok 872C, Tampines Street 86, dan dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 4 petang.
Menurut Cik Noraidah, gerai itu milik suaminya tetapi yang menguruskannya ialah Cik Noraidah bersama ibunya, abangnya dan tiga pembantu dapur.
Ibunya, Cik Intan Wahab, 67 tahun, yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang masakan untuk gerai makanan dan syarikat katering buat majlis perkahwinan selama melebihi 20 tahun, merupakan tukang masak gerai Dapur Hassan.
Cik Noraidah dan abangnya, Encik Mohd Ridwan Abdul Rahim, 45 tahun, pula membantu ibu mereka membuat persiapan bahan, menjaga stok makanan dan menghidang atau membungkus makanan pelanggan.
Suami Cik Noraidah kadangkala membantu di gerai pada hari cutinya.
Gerai tersebut menjual makanan seperti nasi lemak, lontong, dan mi rebus serta lauk-pauk seperti ayam lemak cili padi, asam pedas, dan rendang.
Sejauh ini, sambutan pelanggan sangat menggalakkan, memandangkan gerai nasi padang itu terletak di kawasan perumahan BTO baru dan ia satu-satunya gerai makanan Melayu di kawasan itu, kata Cik Noraidah.
“Saya dan suami mula mencari gerai makanan pada Ogos tahun lalu. Secara kebetulan, saya jumpa gerai kami apabila saya ke pasar raya di kawasan ini.
“Ketika itu, pengurus kedai kopi nampak kami tengok-tengok gerai ini dan tanya adakah kami mahu sewa dan jual makanan Melayu. Kami pun setuju sewa gerai ini,” kata Cik Noraidah, ibu tiga anak berusia dua tahun, enam tahun dan 11 tahun.
Sebelum ini, beliau bekerja dalam industri runcit sebagai pembantu butik dan kemudian di industri minyak dan gas, dan tidak ada pengalaman dalam bidang makanan dan minuman.
“Dulu, saya tidak tahu cara bungkus nasi pun. Tapi, apabila saya hadap pelanggan, caranya sama seperti saya bekerja di kedai runcit dahulu,” kata Cik Noraidah yang juga pernah menjual kek dan biskut dari rumah.
Dalam pada itu, pelanggan yang mengunjungi gerai nasi padang itu kini boleh membayar melalui kaedah e-pembayaran Kod Respons Pantas Singapura (SGQR).
Cik Noraidah telah menggunakan kaedah e-pembayaran SGQR ini sejak Disember tahun lalu dan menerima lebih 25 transaksi pada setiap bulan.
“Saya memang tidak mahu gunakan ‘cash register’ atau mesin NETS di gerai supaya ada lebih ruang lapang.
“Jadi, apabila ada duta digital SG datang dan menyarankan saya gunakan e-pembayaran SGQR ini, saya terbuka dengan idea itu.
“Sejauh ini, saya suka dengan kaedah e-pembayaran ini kerana ia mudah, pantas dan selamat,” kata Cik Noraidah.
Katanya lagi, baru-baru ini, ada seorang pelanggan yang sangat gembira dapat membeli makanan melalui kaedah e-pembayaran SGQR sehingga pelanggan itu berkongsi tentang gerai Dapur Hassan melalui akaun media sosial Instagram beliau.
Akui e-pembayaran bagus sebab tidak libatkan wang tunai
SETELAH menjual nasi beriani di bazar Ramadan selama lapan tahun, pasangan suami isteri, Encik Rosman Abdul Rahman, 57 tahun, dan Cik Norhayati Sulaiman, 56 tahun, menyewa gerai makanan pertama mereka di Pusat Makanan Pasir Ris Central pada Disember tahun lalu.
Gerai yang dinamakan Dapur Mamu itu menjual nasi beriani ayam dan daging berserta acar dan dalca, sabsuka, laksa dan mi sambal. Ia dibuka setiap hari dari 10.30 pagi hingga 7 malam.
“Anak kedua saya yang sarankan kami cuba buka satu gerai sebab kami juga jual nasi beriani secara kecil-kecilan dari rumah. Saya dan suami fikir, mengapa tidak kami cuba,” ujar Cik Norhayati.
Dalam pada itu, Cik Norhayati dan suaminya terdorong mahu menyewa sebuah gerai makanan akibat keadaan pandemik koronavirus yang tidak membolehkan mereka menjual nasi beriani di bazar Ramadan atau acara luaran.
“Secara kebetulan, ada kawan jual nasi padang di Pusat Makanan Pasir Ris Central dan adik ipar saya kerja dengannya. Mereka yang suruh kami cuba buat permohonan gerai di pusat makanan ini. Alhamdulillah, kami dapat gerai di sini,” kata Cik Norhayati.
Beliau dan suaminya mempunyai tiga anak, Encik Luqman Nur Hakim, 30 tahun; Encik Muhd Hazril, 25 tahun; dan Encik Muhd Hafidz, 23 tahun.
Anak-anak mereka turut membantu di gerai makanan pada hujung minggu.
“Kawan baik suami saya, Encik Ghazali, yang banyak membantu suami saya, antaranya mengajar suami saya cara memasak nasi beriani,” ujar Cik Norhayati.
Lantaran itu, mereka prihatin terhadap mutu makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.
Dalam pada itu, Cik Norhayati berpendapat menjual hidangan di gerai pusat makanan pastinya berbeza daripada menjual nasi beriani di bazar Ramadan.
“Kami selalu jual di bazar Ramadan berdekatan MRT Tampines dan di situ, selalu ada ramai orang. Maka, kami sibuk sepanjang masa di bazar.
“Tetapi, apabila jual makanan di gerai pusat makanan, waktu sibuknya selalu pada waktu makan tengah hari dan waktu makan malam. Selain itu, pelanggan datang satu persatu,” kata Cik Norhayati.
Namun, Cik Norhayati bersyukur bahawa perniagaannya sejauh ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Ada pelanggan tetap dan ada juga pelanggan baru,” ujarnya.
Bagi memudahkan pelanggan, Cik Norhayati menawarkan kaedah e-pembayaran Kod Respons Pantas Singapura (SGQR).
“Pada saya, kaedah e-pembayaran SGQR ini bagus sebab ia tidak melibatkan wang tunai.
“Kami tidak perlu sediakan duit syiling atau wang kertas. Ia mudah digunakan dan senang bagi kami,” kata Cik Norhayati.
Menurutnya, pelanggan yang membuat e-pembayaran SGQR berusia antara 20-an dengan 50-an tahun.
Malah, Cik Norhayati dan suaminya telah lama menyokong kaedah e-pembayaran melalui FavePay dan GrabPay semasa mereka menjual nasi beriani di bazar Ramadan.
“Kami masih menerima bayaran melalui wang tunai tetapi kaedah e-pembayaran SGQR ini memudahkan bagi pelanggan yang tidak ada wang tunai,” kata Cik Norhayati.