Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mantan anggota WP, Yaw Shin Leong, sangkal kenyataan Pritam

Dec 07, 2021 | 05:30 AM



MANTAN anggota Parti Pekerja (WP), Encik Yaw Shin Leong, yang dipecat pada 2012, telah menyangkal kenyataan pemimpin parti, Encik Pritam Singh mengenainya semasa sidang media parti itu minggu lalu.



Menurut Encik Pritam, selepas dituduh menjalin hubungan sulit dengan seorang anggota parti lain, Encik Yaw tidak tampil memberikan penjelasan kepada anggota parti lain dan ini membawa kepada keputusan parti itu untuk memecatnya.



Encik Yaw, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) SMC Hougang selama setahun hingga 2012, berkata ini tidak benar dan beliau malah telah menjelaskan perkara itu kepada kepimpinan WP sebelum tuduhan tersebut timbul.



"Sebelum dakwaan itu timbul, saya telah menceritakan situasi secara berterus terang kepada Setiausaha Agung WP, Encik Low Thia Kiang.



"Sebaik dakwaan tersebut timbul, saya telah memberi penjelasan kepada Encik Low dan pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, dan saya dinasihatkan supaya tidak berkata apa-apa," ujar Encik Yaw.



Mengulas lanjut mengenai perkara itu dalam satu kiriman di Facebook, Encik Yaw berkata beliau telah mengutamakan kepentingan parti tersebut dan memutuskan untuk mengundur diri secara senyap.



Menurutnya, beliau ke luar negara selepas itu untuk memberi parti tersebut ruang bagi membentuk naratif yang diperlukan.



Namun, beliau telah dipecat pada 14 Februari 2012 atas sebab "pecah amanah, kepercayaan dan jangkaan parti dan warga".



"Saya terima naratif ini, tetapi saya tidak terima apa yang dikatakan Pritam kerana saya telah menjelaskan perkara itu," tambahnya.



Encik Pritam telah menukil insiden yang melibatkan Encik Yaw semasa sidang media itu untuk membezakan antara situasi tersebut dan insiden berkaitan Cik Raeesah Khan.



Katanya: "Yaw Shin Leong tidak menjelaskan situasi kepada parti menyusuli tuduhan yang timbul. Saya rasa beliau tidak bertemu media, tidak bertemu (anggota) parti.



"Parti sanggup memberikannya ruang untuk menguruskan dirinya, namun ini berterusan hingga ia menjadi tindakan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima. Justeru, parti ini telah memutuskan untuk memecatnya."



Sidang media tersebut diadakan atas tujuan memberi penjelasan mengenai peletakan jawatan Cik Raeesah baru-baru ini selepas beliau berbohong di Parlimen berkaitan butiran kes serangan seksual yang didakwanya telah disalah urus pihak polis.



Namun, dalam keterangan Cik Raeesah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa yang meneliti aduan terhadapnya, beliau berkata tiada seorang pun pemimpin atau aktivis kanan Parti Pekerja (WP) yang telah memberitahu beliau untuk menjelaskan perkara sebenar di Parlimen pada 4 Oktober lalu.



Dalam kenyataan parti itu Ahad lalu, ia berkata respons terhadap dakwaan yang timbul dalam siasatan Jawatankuasa Hak Istimewa akan diberikan pada tempoh yang sesuai dan ia bersedia memberikan bukti sewajarnya kepada jawatankuasa tersebut.



Mengulas tentang perkara tersebut, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata bukti yang akan dikemukakan parti itu penting dalam menetapkan perkara sebenar.



Beliau memberitahu Berita Harian, kepimpinan parti itu kini memantau keadaan termasuk apa yang telah didedahkan melalui media dan kini membentuk respons yang substantif.



"Mereka perlu memberikan penjelasan secara terbuka, selain apa yang telah dikemukakan semasa sidang media sebelum ini dan perlu menyanggah semua bukti yang didedahkan yang menjejas kepimpinan WP.



"Raeesah mungkin dilihat sebagai tidak mempunyai kredibiliti tetapi kepimpinan parti perlu dilihat sebagai berpegang kepada piawaian yang tinggi, jika tidak akibatnya boleh memudaratkan mereka dan juga parti itu," katanya.



Meskipun dengan pelbagai pertimbangan dan penilaian yang dibuat pihak berlainan mengenai insiden itu, profesor Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Chong Ja Ian, pula berkata isu yang tidak harus diketepikan adalah untuk memastikan mangsa serangan seksual diberi perhatian yang adil dan penuh belas kasihan.



"Amat tragik jika salah satu akibat daripada (laporan) Jawatankuasa Hak Istimewa ini serta liputan media menyebabkan mangsa serangan seksual kurang dipercayai dan membuat pengakuan mereka lebih mudah untuk tidak dipedulikan.



"Sokongan bagi mangsa serangan seksual memang sesuatu yang perlu dipertingkat di Singapura," katanya.




"Sebaik dakwaan tersebut timbul, saya telah memberi penjelasan kepada Encik Low dan pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, dan saya dinasihatkan supaya tidak berkata apa-apa."
- Encik Yaw Shin Leong.



"Mereka perlu memberikan penjelasan secara terbuka, selain apa yang telah dikemukakan semasa sidang media sebelum ini dan perlu menyanggah semua bukti yang didedahkan yang menjejas kepimpinan WP."
- Profesor Madya Eugene Tan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >