Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mantan DPM Wong kongsi pendekatan pemerintah tangani konflik agama

Jul 04, 2018 | 05:30 AM



MANTAN Timbalan Perdana Menteri Encik Wong Kan Seng semalam berkongsi pengalamannya tentang cara pemerintah menangani isu berhubung agama khususnya apabila berlaku konflik atau ketegangan.



Pemerintah menurut beliau lazimnya tidak campur tangan dalam ehwal agama.



Namun jika berlaku ketegangan atau konflik agama, pemimpin agama tidak akan dibiarkan sendiri menangani konflik itu bahkan pemerintah akan turut tampil menanganinya.



"Sebagai menteri, saya selalu katakan biarkan mereka (pemimpin agama) sendiri sehingga kita tahu ada masalah atau masalah boleh timbul.



"Kami akan hentikannya sebelum ia berlaku. Ia merupakan pendekatan saya dan rakan sekerja saya sekarang. Kami tidak sengaja campur tangan dengan pemimpin agama,'' kata Encik Wong, dalam satu dialog di Forum Keharmonian Agama yang dipengerusikan oleh mantan Presiden Terkini Pertubuhan Antara Agama (IRO), Encik K Kesavapany anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) di Hotel Furama RiverFront semalam.



Forum setengah hari itu membincangkan peranan pemimpin agama dan negara dalam mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura, yang dihadiri sekitar 200 peserta meliputi penggubal dasar, pemimpin agama dan akademik.



Beliau menambah pentingnya pemerintah bertindak dengan pantas jika timbul isu yang serius dengan menghuraikannya melalui pelbagai cara dari segi undang-undang, program atau mendapatkan pemimpin agama menanganinya.



Namun, beliau berkata negara ini tidak akan membiarkan pemimpin agama menghuraikan konflik atau ketegangan agama sendiri.



"Jika anda memikirkan bahawa kita boleh membiarkan pemimpin agama menghuraikannya sendiri, maaf, ia tidak akan berlaku. Lebih baik pemerintah campur tangan,'' kata Encik Wong, yang juga mantan Menteri Ehwal Dalam Negeri.



Ditanya pengalaman paling mencemaskannya sewaktu menjadi menteri, beliau berkata ia berlaku apabila 15 pengganas ditangkap di Singapura menyusuli kejadian serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat.



Jika tidak diuruskan dengan baik dengan pelibatan semua pihak terutama pemimpin masyarakat dan pelbagai agama untuk meredakan keadaan, ia boleh menimbulkan masalah, katanya.



Lantas, beliau menekankan usaha mengekalkan keharmonian agama - yang asasnya dimulakan para pemimpin perintis - harus terus dikukuhkan.



Selepas kejadian 11 September, hubungan negara dengan agama Islam menjadi lebih kukuh sedang Islam bergantung pada negara untuk mencegah Islamofobia', manakala negara bergantung pada Islam untuk mengatasi fahaman radikal, kata Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa.



Secara umum, hubungan antara negara dengan agama Islam di Singapura, baik tetapi ada kalanya mencabar, kata Haji Alami yang juga Ketua Pengajian Program Hubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam ucapannya dalam perbincangan panel bertajuk 'Peranan Negara Dalam Keharmonian Agama' dalam forum itu.



"Hubungan antara Islam dan negara (Singapura) semakin kukuh, tidak seperti di negara lain yang mempunyai masyarakat Muslim minoriti.



"Ini kerana hubungan itu simbiotik dan saling menguntungkan kededua pihak," ujarnya.



Beliau juga berkata hubungan Islam-negara itu akan terus berubah, dan pelbagai pihak harus bersedia menangani pelbagai isu yang akan timbul.



Sementara itu, Pengarah Kanan Dasar dan Pembangunan Agama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata pemimpin agama mempunyai peranan penting memberikan panduan agama dengan jelas yang bersesuaian dengan kehidupan Singapura yang majmuk.



Dalam perbincangan panel bertajuk 'Peranan Pemimpin Agama', beliau berkata pemimpin agama perlu menangani pandangan agama yang diputarbelitkan kumpulan yang mempunyai motif mengajak kepada perpecahan, menanam sifat eksklusif, mengasingkan diri dari masyarakat lain dan lebih buruk lagi, membawa kepada keganasan.



Pemimpin agama juga menghadapi cabaran baru menangani 'suara-suara lantang' di Internet yang mempunyai pandangan tidak bersesuaian dan boleh melemahkan kehidupan dalam masyarakat majmuk.



"Pemimpin agama perlu bersaing dengan suara-suara yang lantang dan mampu mengenengahkan hujah dan kandungan lebih kukuh dan bernas bagi memandu masyarakat,'' ujarnya, ketika ditemui wartawan selepas panel itu.



Oleh itu, terdapat keperluan bagi Muis untuk membina keupayaan asatizah dengan kemahiran untuk menyuarakan pandangan dengan isi kandungan sesuai bagi berinteraksi dengan masyarakat dan menangani suara-suara lantang yang boleh membawa pepecahan masyarakat.



Bersetuju, Biskop Emeritus Dr Robert Solomon dari Gereja Metodis menyatakan pemimpin agama mempunyai peranan penting memberikan panduan kepada penganutnya jika terdapat pandangan yang boleh memecah-belahkan keharmonian agama dalam masyarakat.



Setiausaha Lembaga Penasihat Hindu, Encik Ramesh Subbaraman menambah pemimpin pelbagai agama boleh mempunyai wadah bagi membuat pemeriksaan silang jika terdapat berita dalam media sosial yang boleh memecahbelahkan keharmonian agama.




''Hubungan antara Islam dan negara (Singapura) semakin kukuh, tidak seperti di negara lain yang mempunyai masyarakat Muslim minoriti. Ini kerana hubungan itu simbiotik dan saling menguntungkan kededua pihak.''
- Ketua Pengajian Program Hubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), Haji Mohd Alami Musa.



''Pemimpin agama perlu bersaing dengan suara-suara yang lantang (yang tidak bersesuaian dan boleh melemahkan kehidupan masyarakat majmuk) dan mampu mengenengahkan hujah dan kandungan lebih kukuh dan bernas bagi memandu masyarakat.''
- Pengarah Kanan Dasar dan Pembangunan Agama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >