BUDI pekertinya baik dan tutur katanya juga lemah lembut tetapi semangatnya kuat apabila bercakap mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinannya.
Itulah yang digambarkan Cik Winda Guntor mengenai bapanya, Allahyarham Guntor Sadali yang menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi semalam.
Allahyarham Guntor, 69 tahun, merupakan mantan Editor Berita Harian (BH), yang pernah menerajui akhbar ini selama 15 tahun, dan menyusuli itu, kekal sebagai Penasihat Editorial sehingga beliau bersara pada 2014.
Cik Winda memberitahu BH bapanya meninggal dunia sekitar 2.30 pagi di rumahnya di Edgefield Plains.
Menurut Cik Winda, beliau sedang tidur apabila menerima panggilan telefon daripada ibunya Cik Mariam Arad awal dan berkata padanya bahawa "ayah sudah tiada" sambil menangis.
Cik Winda kemudian memanggil ambulans dan bergegas ke rumah bapanya itu di Punggol.
Punca kematian Allahyarham adalah penyakit jantung hipertensi.
Namun, Cik Winda mendedahkan bapanya tidak mengalami masalah kesihatan sebelum ini kecuali tekanan darah tinggi yang dikawal baik dengan ubat.
Kali terakhir beliau bercakap dengan Allahyarham adalah kelmarin apabila mendapatkan bantuan bapanya itu untuk mencarikan dompet yang tercicir di rumah bapanya.
"Beliau menemui dompet itu di bawah sofa dan meninggalkannya di atas meja makan untuk suami saya mengambilnya," tambah beliau.
Menceritakan sifat mulia Allahyarham, Cik Winda berkata bapanya itu adalah seorang yang baik hati dan sentiasa bersedia membantu dengan caranya sendiri.
"Beliau sentiasa bercakap dengan lemah lembut tetapi bersemangat apabila melibatkan perkara yang menjadi keprihatinannya.
"Beliau juga sentiasa meletakkan keperluan orang lain dahulu dan sentiasa bersedia untuk berkorban untuk orang lain," tambah Cik Winda, yang bertugas sebagai pengurus di jabatan Perhubungan Korporat AMP Singapura.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga anak dan enam cucu.
Sekitar 100 orang hadir di rumah Allahyarham sebelum membawa jenazah untuk pengebumian semalam.
Ini termasuk Editor BH, Encik Saat Abdul Rahman; mantan editor BH dan Duta Singapura ke Kuwait dan Duta Khas Menteri Ehwal Luar ke Timur Tengah, Encik Zainul Abidin Rasheed; mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi serta mantan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam (Muis), Haji Abdul Razak Hassan Maricar.
Allahyarham Guntor merupakan antara wartawan perintis akhbar ini.
Beliau berkhidmat di bilik berita selama 42 tahun dan telah melaporkan pelbagai berita penting dan sensitif melibatkan masyarakat Melayu.
Sepanjang berkhidmat dengan akhbar ini, beliau telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam dunia kewartawanan dan akhbar Melayu di Singapura.
Ini termasuk apabila Berita Harian di Singapura dan Berita Harian di Malaysia berpisah pada 1972 - kededua akhbar itu satu entiti dan berkongsi kandungan sebelum itu.
Allahyarham sebahagian pasukan pertama yang melahirkan BH Singapura dengan kandungan sendiri.
Mengulas pemergian Allahyarham, Encik Saat berkata:
"Pemergian Allahyarham Guntor adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada kewartawanan di Singapura, tetapi juga kepada masyarakat Melayu di sini. Saya belajar banyak daripadanya dalam kerjaya BH saya. Beliau memberi saya banyak peluang untuk berkembang dalam pekerjaan saya.
"Saya masih ingat beliau sebagai seorang yang sentiasa tenang walaupun dalam tekanan."
Mengimbas kembali kenangan bekerja bersamanya pada tahun 70-an hingga awal 80-an, Encik Zainul menyifatkan Allahyarham sebagai timbalan editor yang paling boleh dipercayai membantu beliau menyatukan pasukan BH.
"Kekuatannya bukan sekadar pengalaman kewartawanan yang diperolehinya, tetapi sama jika tidak lebih penting, keperibadiannya yang lemah lembut dan pemurah serta kewibawaannya," kata Encik Zainul.
Encil Zainul turut menambah bahawa sumbangan Allahyarham kepada dunia berita penting di mana beliau berjaya merapatkan peralihan dan cabaran antara media cetak tradisional dengan digital sepanjang kerjayanya di bilik berita.
Allahyarham menjadi editor paling lama di BH sehingga 2012 dan antara lain mencapai edaran 75,000 naskhah BH, edisi digital, edisi khas untuk sekolah (Kelab Obor), kegiatan belia Kelab Coretan Remaja dan Anugerah Jauhari.