MUZIK dan kehidupan Allahyarham Idris Mohd Yusof tidak dapat dipisahkan.
Sebagai mantan pengarah muzik pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF), sumbangan beliau kepada generasi demi generasi pemuzik SPF tidak ternilai.
Justeru, sejak kesihatan beliau merosot hingga beliau terpaksa dirawat di hospital, anak murid dan rakan-rakan daripada arena muzik tidak henti-henti berkunjung atau setidak-tidaknya bertanya khabar.
Semalam, Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar 8.25 pagi, meninggalkan seorang balu, empat anak dan sembilan cucu.
Ditemui Berita Minggu, anaknya Cik Emelia Idris, 42 tahun, berkata Allahyarham, 73 tahun, meninggal dunia dalam tidur di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH) akibat penyakit jantung.
"Apabila pulang dari Abu Dhabi, kesihatannya baik-baik sahaja, namun sejak kebelakangan ini beliau berasa tidak selesa di bahagian jantungnya lalu dirawat sejak Selasa lalu.
"Tapi allamdulillah, pemergiannya tenang sahaja dan beliau sempat bertemu orang tersayang, keluarga serta anak didiknya daripada pancaragam SPF," kata Cik Emelia, seorang pensyarah di Politeknik Republic ketika ditemui di rumahnya.
Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi sekitar 5 petang semalam.
Penerima Pingat Pujian Hari Kebangsaan 2002 itu berkhidmat bersama SPF lebih 40 tahun, dari usianya 14 tahun.
Allahyarham menyandang jawatan pengarah muzik pancaragam SPF dari 1986 hingga beliau bersara daripada SPF pada 2004, ketika berusia 57 tahun.
Beliau kemudian menjadi konsultan bersama Polwel Music & Events, cabang Dana Kebajikan Pusat Polis, yang memberi pegawai Home Team yang telah bersara peluang terus mencari sumber pendapatan.
Allahyarham kemudian menjadi konsultan Pancaragam Polis Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selama tujuh tahun hingga beliau bersara sepenuhnya pada 2018.
Cik Emelia berkata dalam arena muzik, Allahyarham seorang yang sangat komited dan bersikap profesional, manakala dengan anggota keluarga dan rakan-rakan beliau diingati sebagai seorang yang baik hati.
"Beliau sangat cinta pada muzik, pada kerjayanya, pada keluarganya dan beliau selalu prihatin akan kata-kata yang digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang," ujarnya.
Pengganti beliau sebagai pengarah muzik pancaragam SPF, Superintenden (Bersara) Amri Amin, 60 tahun dan berkhidmat bersama Allahyarham dari dari 1982 hingga 2004, berkata:
"Cintanya terhadap pancaragam (SPF) umpama lagu Kau Yang Sangat Ku Sayang, nyanyian Rano Karno. Meskipun sudah lama bersara, hatinya tetap pada pancaragam. Beliau seorang pemimpin yang mempunyai visi, berkarisma dan sentiasa mementingkan pembangunan pancaragam."
Bagi pengarah muzik pancaragam SPF kini, Superintenden Sulaiman Abdul Wahab, Allahyarham bak seorang bapa.
"Allahyarham memang dikenali bagi sumbangannya yang meluas kepada kemajuan pancaragam SPF di sini dan juga di luar negara sejak awal.
"Semangatnya terhadap muzik dan sayangnya kepada pegawai di bawah kepimpinannya dan ahli pancaragam memang sukar dicontohi," kata Superintenden Sulaiman, 47 tahun.