SELEPAS lebih 30 tahun menghilangkan diri, mantan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga mantan Anggota Parlimen (AP) Phey Yew Kok didakwa di mahkamah tadi.
Phey melarikan daripada jaminan dan meninggalkan Singapura pada 1980 untuk menghindari tuduhan yang dia hadapi bagi kesalahan penyalahgunaan dana kesatuan.
Dia telah menyerahkan diri kepada Kedutaan Singapura di Thailand dan kemudian ditemani pulang ke Singapura semalam.
Dia sebelum ini didakwa dengan empat tuduhan pecah amanah melibatkan $83,000 pada Disember 1979.
Ketika itu, dia juga menghadapi dua tuduhan di bawah Akta Kesatuan Sekerja kerana melabur dana kesatuan sekerja berjumlah $18,000 dalam sebuah pasar raya swasta tanpa kelulusan menteri.
Menjawab pertanyaan media berkenaan kes itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata:
"Phey Yew Kok menghadapi tuduhan pecah amanah semasa dia melarikan diri semasa dibebaskan dengan ikat jamin pada 1980.
"Dia kini telah menyerah diri dan pulang ke Singapura. Dia telah didakwa di mahkamah dan undang-undang akan menentukannya.
"Ini akan memberi penutupan terhadap sebuah kes yang belum selesai selepas sekian lama melibatkan seseorang yang memegang jawatan awam sebagai AP dan pemimpin kesatuan kanan."