Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH HARI KEBANGSAAN

Mantan Presiden Tony Tan terima anugerah tertinggi

Penerima Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini termasuk Leo Yip dan Ustaz Ali
Aug 09, 2018 | 05:30 AM



MANTAN Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam, mengetuai senarai penerima Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.



Beliau akan menerima anugerah tertinggi iaitu Darjah Utama Temasek (Kelas Pertama). Hanya seorang sahaja diberikan pingat berprestij itu tahun ini.



Turut menerima anugerah tahun ini termasuk dua pemimpin agama, Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, yang menerima Pingat Jasa Gemilang.



Kededuanya merupakan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Anugerah Hari Kebangsaan diberikan untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan individu kepada negara.



Tahun ini, seramai 4,624 individu menerima Anugerah Hari Kebangsaan, dengan senarai penerima dibahagikan kepada 21 kategori anugerah.



Menurut satu kenyataan pemerintah semalam, sebanyak 4,041 anugerah diberikan kepada orang awam, manakala 583 anugerah diberikan kepada anggota pasukan tentera.



Bagi anugerah kedua tertinggi dalam senarai Anugerah Hari Kebangsaan, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang, hanya dua individu menerimanya tahun ini.



Mereka adalah mantan Pengerusi Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Encik Philip Ng Chee Tat; dan mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Wong Ngit Liong.



Turut menerima Pingat Jasa Gemilang ialah Pengarah Eksekutif Pusat untuk Bandar-Bandar yang Sesuai Didiami (Centre for Liveable Cities), Kementerian Pembangunan Negara, Encik Khoo Teng Chye; dan Ketua Perkhidmatan Awam merangkap Setiausaha Tetap Pejabat Perdana Menteri (PMO), Encik Leo Yip Seng Cheong.



Menurut laman PMO, Pingat Jasa Gemilang dianugerahkan kepada warga yang telah melakukan perkhidmatan secara jelas di Singapura.



Antara ciri-cirinya adalah tekad dan iltizam kepada tugas, termasuk perkhidmatan lama yang menunjukkan keupayaan luar biasa, merit dan kelakuan yang dapat menjadi contoh.



Bagi Ustaz Ali, yang juga merupakan Pengerusi Masjid Khadijah, beliau bersyukur dipilih menerima anugerah Pingat Jasa Gemilang.



Menurutnya, anugerah itu menunjukkan bahawa pemerintah Singapura amat menghargai segala usaha dan sumbangan masyarakat Islam dan golongan asatizah kepada negara.



"Anugerah ini juga adalah lambang yang menunjukkan pentingnya kerjasama erat di antara golongan asatizah dengan pemerintah dalam pekara yang menjadi kepentingan dan keprihatinan negara dan masyarakat," kata Ustaz Ali.



Beliau juga berharap anugerah itu juga dapat meningkatkan lagi semangat dan motivasinya supaya terus berkhidmat "selagi ada kemampuan dan daya".



Sejak 40 tahun lalu, Ustaz Ali telah berkecimpung dalam pelbagai kerja sukarelawan dan kemasyarakatan.



Beliau kini merupakan anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Tertinggi Muis.



Pada 2003, beliau dan beberapa asatizah lain mengusahakan penubuhan RRG untuk membetulkan fahaman agama yang salah dalam kalangan tahanan Jemaah Islamiyah (JI).



Ustaz Ali berkata, beliau berasa senang dan puas hati apabila dapat berkhidmat dan bekerjasama dengan masyarakat.



"Kerja sukarelawan telah mengajar saya nilai-nilai seperti perjuangan, tanggungjawab dan komitmen," tambahnya.



Dalam senarai penerima Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini, beberapa pejawat awam Melayu/Islam turut diiktiraf.



Mereka termasuk Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad dan pengetua Sekolah Rendah Princess Elizabeth, Cik Moliah Hashim.



Mereka diiktiraf dengan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).



Sebelum menyandang jawatan pengetua sekolah, Cik Moliah juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki selama empat tahun.



Sementara itu, ahli Lembaga Yayasan Mendaki, Encik Salim Abdul Kadir pula menerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat.



Pemimpin pertubuhan akar umbi juga antara penerima anugerah, antaranya Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Pasir Ris East, Encik Anuar Yusop, yang juga Pengarah Eksekutif Angkatan Karyawan Islam (AMP).



Bagi mereka yang ingin melihat senarai penuh Anugerah Hari Kenbangsaan boleh melayari laman PMO di www.pmo.gov.sg/national-day-awards.




''Anugerah ini menunjukkan bahawa pemerintah Singapura amat menghargai segala usaha dan sumbangan masyarakat Islam dan golongan asatizah kepada negara. Anugerah ini juga adalah lambang yang menunjukkan pentingnya kerjasama erat di antara golongan asatizah dengan pemerintah dalam pekara yang menjadi kepentingan dan keprihatinan negara dan masyarakat.''
- Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustaz Ali Haji Mohamed




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >