Mantan wartawan, Encik Rhazaly Noentil telah meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Allahyarham yang merupakan mantan Ketua Berita Melayu Televisyen dan Radio Mediacorp, menghembuskan nafas terakhir setelah mengalami masalah jantung.
Semasa dihubungi, anak ketiga beliau, Cik Suzalina Rhazaly berkata bahawa ayahnya itu telah dimasukkan hospital sejak 19 September lalu di Hospital Besar Singapura (SGH) dan kemudian Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sejak seminggu lalu ekoran masalah jantungnya.
Jenazah beliau yang sudah dibawa pulang dari TTSH malam tadi, akan dikebumikan selepas 10 pagi pada Rabu.
Allahyarham Rhazaly meninggalkan seorang balu, Cik Adeline Gan, 64 tahun; empat anak dan empat cucu.