LEBIH 700 sukarelawan, yang terdiri daripada kakitangan Marina Bay Sands, telah menyediakan 20,000 kit kebersihan yang akan diagihkan kepada golongan memerlukan di bawah program The Food Bank Singapura (gambar).
Acara itu dianjurkan dari 21 hingga 29 Disember dengan kerjasama Clean the World sejak 2015.
Acara tersebut merupakan sebahagian usaha sukarelawan tahunan di seluruh dunia oleh syarikat induk Marina Bay Sands, Las Vegas Sands Corps, dan program pengagihan amal dan penglibatan masyarakatnya, Sands Cares.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Marina Bay Sands semalam, kit kebersihan yang diagih itu mengandungi sabun, kit jahitan, set berus gigi serta pelitup.
Tambahnya, untuk mengurangkan interaksi sukarelawan serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, Marina Bay Sands telah mengerahkan sukarelawan mengumpul barangan untuk kit kebersihan itu di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Sukarelawan ini kemudian akan membawa barangan tersebut pulang ke rumah atau ke pejabat mereka untuk membungkusnya.
Sukarelawan yang memilih untuk membungkus 1,000 kit kebersihan tiba di tempat tersebut dengan troli serta kereta 'buggy' untuk mengangkut barangan itu ke pejabat mereka.
Sejak 2015, Marina Bay Sands telah menderma 165,000 kit kebersihan.