PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Indonesia (BI) akan bekerjasama lebih erat dalam bidang-bidang yang termasuk inovasi pembayaran digital, menangani pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan.
Ini setelah dua bank pusat itu memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mengukuhkan kerjasama dua hala semalam.
Kedua-duanya juga telah merasmikan kerjasama dalam bidang yang diperluas bagi fungsi bank pusat dan pengawalan.
Antara bidang itu ialah dasar kewangan, kestabilan kewangan, sistem pemantauan bayaran dan proses pembayaran serta rangka kerja pengawalan dan penyeliaan, menurut satu kenyataan bersama dua bank pusat itu.
MOU itu ditandatangani sehari sebelum Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mengadakan Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia di Bintan hari ini.
"Bank Indonesia dan MAS mempunyai hubungan lama dan telah bekerjasama dalam pelbagai bidang. MOU ini menunjukkan komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan dan memajukan kerjasama dalam bidang-bidang kepentingan bersama seperti inovasi kewangan dan keterhubungan pembayaran,'' kata Pengarah Urusan MAS, Encik Ravi Menon.
Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warijiyo, berkata MOU itu memberi peluang bagi dua bank pusat itu meluaskan kerjasama dan menangani cabaran yang semakin rumit, seperti inovasi pembayaran dan pengubahan wang haram.
"MOU itu menunjukkan usaha bersama kami dalam memajukan ekonomi dan kewangan digital dan menangani pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan,'' kata beliau dalam kenyataan itu.
MOU itu akan dilaksana melalui dialog dasar, pertukaran maklumat, kerjasama teknikal, inovasi bersama dan jawatankuasa kerja.