PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) hari ini (28 Jun) mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan sehingga lima lesen bank digital baru.
Ini adalah tambahan kepada mana-mana bank digital yang boleh dibentuk kumpulan perbankan Singapura di bawah rangka kerja perbankan Internet sedia ada yang diperkenalkan pada 2000.
Langkah yang diumumkan hari ini memperluaskan lesen bank digital kepada syarikat bukan bank, kata MAS dalam satu kenyataan malam ini.
Mengumumkan langkah itu dalam Majlis Makan Malam Tahunan Ke-46 Persatuan Bank Singapura, Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang juga Pengerusi MAS, berkata:
“Lesen bank digital baru menandakan bab seterusnya dalam perjalanan liberalisasi perbankan Singapura.
“Ia akan memastikan sektor perbankan Singapura terus berdaya tahan, berdaya saing dan bersemangat.”
Penyertaan syarikat digital baru itu akan menambah kepelbagaian dan mengukuhkan sistem perbankan Singapura dalam ekonomi digital masa depan.
Dengan model perniagaan yang inovatif dan keupayaan digital yang kuat, syarikat-syarikat itu boleh menyediakan khidmat kepada segmen yang kurang diberi perhatian dalam pasaran.
Mereka akan memberikan dorongan kepada bank sedia ada untuk terus meningkatkan kualiti penawaran digital mereka.