Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Masa lapangnya bagi masyarakat 

Jan 19, 2020 | 05:30 AM

KEPUTUSAN untuk berpindah ke Singapura bukanlah suatu yang mudah baginya. 

Namun melihat kembali, ia keputusan “terbaik” yang pernah dilakukannya. 

Semangat kemasyarakatan dan gotong-royong yang terserlah di negara ini, menurutnya, sama dengan negara asalnya, India. 

Justeru, ia tidak membuatnya rasa asing, meskipun beliau dan isterinya, merupakan pendatang. 

Kini dengan lebih sedekad lamanya menetap di Singapura, Encik Syed Abdulrahim Syed Nizar, 40 tahun, berkata: “Di India, kami sudah terbiasa dikelilingi ramai orang. Pada mulanya, kenalan kami di sini tak ramai tetapi setelah berinteraksi dengan penduduk lain, saya tak pernah merasakan saya berada di negara asing... ia rasa seolah-olah saya tinggal di negara saya sendiri.” 

Malah, beliau dan isterinya, Cik Shaik Anwar Ahamed Nabeela Nasreen, 38 tahun, yang merupakan penduduk tetap Singapura, melahirkan kesyukuran mereka dengan menawarkan kelas tuisyen bahasa Tamil secara percuma kepada kanak-kanak di kawasan perumahan mereka yang terletak di Keat Hong. 

Setiap petang Rabu, beliau dan isterinya akan mengadakan kelas bahasa Tamil di Kelab Masyarakat Keat Hong yang dihadiri lebih 25 pelajar darjah lima dan enam. 

 

Sementara isterinya mengajar, Encik Nizar akan bantu mengendalikan kelas tersebut. 

Bagi beliau, kewangan tidak sepatutnya menjadi faktor bagi seseorang untuk mendapatkan  pendidikan.

“Tetapi pendidikan merupakan perkara utama yang semua orang perlu dapat. Terdapat sesetengah pelajar yang menghadapi sedikit kesukaran dalam bahasa mereka. 

“Isteri saya mempunyai pengkhususan dalam pengajaran (di India) dan ia minatnya. “Apabila kami menyertai jawatankuasa, kami menemui peluang mengajar kanak-kanak di kawasan Keat Hong. Beliau dengan segera mengambilnya dan mula membantu kanak-kanak di kawasan kediaman kami,” ujarnya yang masih menunggu kelulusan untuk menjadi warga Singapura. 

Encik Nizar merupakan eksekutif di Universiti Nasional Singapura (NUS) manakala isterinya bekerja sebagai Jurutera Penyelidikan di NUS. 

Masa lapang Encik Nizar pula diluangkan untuk kegiatan kemasyarakatan. Selain seorang relawan bersama Kecemasan dan Pendekatan Masyarakat (C2E) Keat Hong, beliau juga relawan di Jawatankuasa Penduduk Zon 7 Keat Hong, di mana beliau melawat penduduk untuk mendapat tahu keperluan mereka, sekaligus menganjurkan acara untuk membawa penduduk bersama. 

Bagi Encik Nizar, penting untuk pendatang atau penduduk tetap berusaha berintegrasi dengan masyarakat Singapura. 

“Singapura menyediakan banyak aspek kehidupan indah yang tidak boleh didapatkan atau tidak mencukupi di negara asal mereka. Oleh kerana kami menggunakan kesemua kemudahan itu, ia selalunya baik untuk menyumbang kembali dari segi sokongan kewangan atau dengan sokongan sukarelawan menerusi masa,” ujar bapa dua anak itu. 

Sebagai seseorang yang memahami apa perasaannya sebagai pendatang baru, Encik Nizar juga rajin menjadi relawan di Jawatankuasa Integerasi dan Pewarganegaraan (INC) Keat Hong, membantu warganegara baru lebih memahami dan berintegrasi dengan masyarakat Singapura menerusi sesi perkongsian, antara lain. 

Beliau berkata: “Semua penduduk tetap dan warga asing tinggalkan rakan, keluarga dan saudara mereka untuk bekerja di Singapura, justeru penting bagi mereka untuk mengekalkan persekitaran baru yang dipenuhi dengan keluarga dan rakan di sini. Itu yang akan membuatkan persekitaran kehidupan di sini lebih seronok dan menggembirakan. Ia hanya memerlukan beberapa pertemuan dan kesopanan yang cukup untuk sesiapa sahaja menjalinkan hubungan dalam masyarakat.”

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian