Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA MENGGULUNG 2020

Masagos: 16,000 sertai 80 daya usaha M³@Bandar

Dec 27, 2020 | 05:30 AM



HAMPIR 16,000 penduduk telah meraih manfaat daripada 80 daya usaha yang dianjurkan di kesemua lapan M³@Bandar sepanjang dua tahun lalu.



Ini termasuk dalam empat bidang tumpuan - memperkukuh keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, memperkasa belia serta pekerjaan dan daya kerja.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mendedahkan demikian dalam satu wawancara sebagai melabuh tirai perkembangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2020.



Dengan jangkauan dan jumlah relawan M³ sekarang, Encik Masagos berharap M³ yang menggabungkan tenaga dan kepakaran tiga aset penting masyarakat - Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - juga dapat menyokong daya usaha pemerintah di peringkat nasional untuk menangani pelbagai isu termasuk jurang ketidaksamaan, keadilan sosial dan mempertingkat masyarakat.



Misalnya, mereka boleh menyokong usaha seperti program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (Uplift) yang antara lain dibentuk Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengatasi masalah ponteng sekolah yang berpanjangan dalam kalangan pelajar serta program KidSTART oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang bertujuan membantu kanak-kanak berusia hingga enam tahun daripada keluarga berpendapatan rendah.



"Mereka memerlukan relawan dan dengan rangkaian kami di M³, kami yakin kami dapat mendekati segmen ini... dan membantu menghubungkan mereka dengan program itu," ujar Encik Masagos.



Wawancara itu turut disertai pemegang jawatan politik Melayu/Islam lain termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East Mohd Fahmi Aliman.



Mereka berkongsi perkembangan usaha yang diterajui masing-masing dalam pelbagai bidang termasuk M³, Wisma Geylang Serai (WGS), budaya, pendidikan, pekerjaan, keluarga dan belia.



Dengan lebih ramai relawan di bawah rangkaian M³, Encik Masagos berkata mereka berharap dapat menjalankan lebih banyak usaha menerusi M³@Bandar.



Inisiatif Ciptasama@M³ turut menyediakan wadah antara pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam untuk bekerjasama menangani isu yang penting bagi masyarakat, sedang usaha terus dijalankan untuk mencapai visi Masyarakat Gemilang.



Inisiatif itu diterajui Encik Zaqy yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki.



"Terdapat isu, keprihatinan dan aspirasi tertentu masyarakat Melayu dan saya rasa ramai anggota masyarakat juga ingin memberi pandangan mereka tentangnya.



"Ini satu wadah berguna untuk kita mendekati masyarakat dengan lebih baik serta menyatukan mereka bersama," ujarnya.



Ciptasama@M³ mempunyai sinergi dengan Perbincangan untuk Bangkit Lebih Kukuh Singapura Bersatu atau Singapore Together Emerging Stronger Conversations dan dua sesi Singapore Together Emerging Stronger Conversations X Ciptasama@M³ akan diadakan bulan depan.



Butiran lanjut sesi itu boleh didapatkan menerusi laman www.go.gov.sg/ciptasama-m3s.




SIRI DIALOG ISU MELAYU/ISLAM TAHUN DEPAN



"Terdapat isu, keprihatinan dan aspirasi tertentu masyarakat Melayu dan saya rasa ramai anggota masyarakat juga ingin memberi pandangan mereka tentangnya. Ini satu wadah berguna untuk kita mendekati masyarakat dengan lebih baik serta menyatukan mereka bersama."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengenai inisiatif Ciptasama@M³.




Laporan lanjut : Wawancara dengan Masagos serta lima pemegang jawatan politik Melayu/Islam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >