Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Masagos bentang rang pindaan lindungi institusi perkahwinan

Oct 21, 2022 | 05:30 AM



DENGAN pindaan yang diusul terhadap Perlembagaan, sebarang langkah mengubah takrif perkahwinan hanya boleh dibuat menerusi Parlimen dan bukan menerusi mahkamah.



Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan Nombor 13) dibentang bagi bacaan pertama oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen semalam.



Rang Undang-Undang Kanun Jenayah (Pindaan) untuk memansuhkan Seksyen 377A juga dibentang bagi bacaan pertama oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, di Parlimen semalam.



MAHU NORMA KELUARGA DAN SOSIAL SEDIA ADA DIKEKAL



Sedang langkah diambil untuk memansuhkan Seksyen 377A - undang-undang yang menyifatkan seks sesama lelaki satu jenayah - kebanyakan warga Singapura masih mahu mengekalkan norma keluarga dan sosial yang sedia ada, dengan perkahwinan mengikut takrif sedia ada, iaitu sebagai antara seorang lelaki dengan seorang perempuan, dan anak-anak dibesarkan dalam struktur keluarga sedemikian.



Demikian menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menerusi satu kenyataan semalam.



Pemerintah turut menyokong pandangan itu dan menegaskan bahawa mereka akan mendukung takrif perkahwinan dan struktur keluarga yang sedia ada ini.



Banyak dasar nasional kini juga bersandarkan takrif perkahwinan ini termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan dan klasifikasi filem.



KEPUTUSAN HARUS DIBUAT PARLIMEN, BUKAN MAHKAMAH



Bagaimanapun dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau Ogos lalu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata takrif perkahwinan ini boleh dicabar atas dasar Perlembagaan di mahkamah, sepertimana Seksyen 377A pernah dicabar di mahkamah beberapa kali sebelum ini namun tiada yang berjaya sejauh ini. Dan perkara ini juga telah berlaku di luar negara.



Malah, undang-undang dan dasar yang berdasarkan takrif itu juga boleh dicabar atas dasar Perlembagaan di mahkamah.



"Jika satu hari nanti cabaran sedemikian berhasil di negara ini, ia mungkin menyebabkan perkahwinan sejenis diiktiraf di Singapura.



"Dan ini akan terjadi hasil daripada keputusan mahkamah, bukan kerana Parlimen meluluskan undang-undang tersebut," ujar Encik Lee.



Tambahnya, bagi Singapura, mahkamah bukan forum yang sesuai untuk memutuskan isu seperti ini kerana pada dasarnya, ini bukan masalah undang-undang tetapi masalah politik.



Sebaliknya, isu sedemikian harus diputuskan Parlimen, di mana perbahasan penuh dapat diadakan, dengan mengambil kira perspektif dan pertimbangan berbeza.



Dalam satu wawancara sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata proses mahkamah bersifat bertentangan.



"Sebarang keputusan mahkamah akan menghasilkan keputusan menang atau kalah bagi pihak yang terlibat dan hasil ini akan memecahbelahkan lagi masyarakat kita.



"Mahkamah sendiri berkata ruangan politik merupakan pilihan lebih jelas untuk membuat keputusan sedemikian," ujarnya.



ARTIKEL 156 (INSTITUSI PERKAHWINAN)



Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan Nombor 13) akan memperkenalkan Artikel 156 (Institusi Perkahwinan) di bawah Bahagian 13 Perlembagaan.



Artikel 156(1) menjelaskan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi mentakrifkan, mengawal, melindungi, mempertahan, menyokong, memupuk dan menggalak institusi perkahwinan.



Artikel 156(2) juga menjelaskan bahawa pemerintah dan pihak berkuasa awam boleh melindungi, mempertahan, menyokong, memupuk dan menggalak institusi perkahwinan dalam melaksana kuasa eksekutif mereka.



Menurut MSF dan MHA, antara langkah itu termasuk dasar perumahan dan manfaat kewangan bagi pasangan yang sudah berkahwin serta dasar pendidikan dan media yang menggalak serta melindungi institusi perkahwinan.



Artikel 156(3)(a) melindungi undang-undang yang mentakrifkan perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita daripada dianggap tidak sah oleh Bahagian 4 Perlembagaan (Kebebasan Asasi).



Sementara itu, Artikel 156(3)(b) dan (4) pula melindungi undang-undang serta dasar yang berdasarkan takrif perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita daripada dianggap tidak sah oleh Bahagian 4 Perlembagaan (Kebebasan Asasi).



LANGKAH ELAK TAKRIF PERKAHWINAN DICABAR DI MAHKAMAH



Bagaimanapun, MSF dan MHA berkata rang undang-undang itu tidak bertujuan memaktubkan takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita dalam Perlembagaan.



Sebaliknya, dalam satu wawancara sebelum ini, Encik Shanmugam berkata pemerintah merancang menyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan bahawa Parlimen boleh mentakrifkan institusi perkahwinan mengikut cara ia ditakrifkan dalam Piagam Wanita dan boleh membuat dasar pro keluarga lain berdasarkan takrif itu.



Tambahnya, ini akan menjadikannya sukar untuk mencabar takrif perkahwinan dan dasar yang berdasarkannya.



Tanpa pindaan kepada Perlembagaan itu, Encik Shanmugam berkata takrif perkahwinan sekarang ini boleh dicabar atas dasar bersifat diskriminasi di bawah Artikel 12 Perlembagaan, yang menjamin perlindungan sama rata di bawah undang-undang.



"Ia boleh dicabar, ia boleh ditanya... kenapa perkahwinan hanya antara lelaki dengan wanita sahaja? Kenapa dua lelaki atau dua wanita tidak boleh berkahwin?" ujarnya.



Sekiranya berjaya dicabar, ini bukan hanya akan menjejas perkahwinan, namun juga banyak undang-undang dan dasar lain yang dibina berdasarkan takrif perkahwinan sedia ada.



Langkah berdiam diri dan membiarkan mahkamah menangani hal ini mungkin lebih mudah dari segi politik namun jika takrif perkahwinan boleh diubah begitu sahaja, ini berisiko menjejas fabrik asas masyarakat, tambahnya.



Oleh itu, beliau menekankan bahawa isu politik sedemikian harus diputuskan oleh badan perundangan dan bukan badan kehakiman.




Proses pindaan jadi undang-undang



DUA rang undang-undang telah dibentangkan bagi bacaan pertama di Parlimen semalam. Ia termasuk:



1) RANG UNDANG-UNDANG KANUN JENAYAH (PINDAAN)



Untuk memansuhkan Seksyen 377A, yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai jenayah;



2) RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN REPUBLIK SINGAPURA (PINDAAN NOMBOR 13)



Untuk melindungi takrif perkahwinan sedia ada serta undang-undang dan dasar berdasarkan takrif ini, daripada dicabar atas dasar Perlembagaan.



Apa yang akan berlaku selepas ini?



  • Dua rang undang-undang itu akan dibahaskan bersama apabila Parlimen bersidang pada 28 November.

  • Setelah dibahaskan, Anggota Parlimen (AP) akan melakukan undian bagi dua rang itu secara berasingan.

Langkah meluluskan rang undang-undang itu hanya memerlukan majoriti mudah atau sokongan lebih separuh AP yang hadir, manakala pindaan kepada Perlembagaan pula perlu disokong sekurang-kurangnya dua pertiga AP secara keseluruhan, tidak termasuk Anggota Parlimen Dilantik (NMP), untuk diluluskan.



  • Di bawah Perlembagaan, semua rang undang-undang kecuali Rang Undang-Undang Wang, Rang Undang-Undang Mendesak atau Rang Undang-Undang yang menjejas pertahanan, keselamatan, keselamatan awam, keamanan atau ketenteraman di Singapura harus dikemukakan kepada Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti (PCMR).

  • Selepas PCMR meniliti rang undangundang itu, ia akan dikemukakan kepada Presiden bagi beliau memberi persetujuannya.

  • Rang undang-undang itu menjadi Akta Parlimen, atau undang-undang, hanya selepas ia dipersetujui oleh Presiden.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >