MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggalak Pertapis bekerjasama dengan badan-badan M Kuasa Tiga (M³) bagi kebaikan masyarakat.
Dalam satu pos di Facebook pada Selasa (11 Mei), beliau berkata usaha Pertapis adalah selaras dengan usaha bidang tumpuan kedua M³ iaitu bagi menyokong individu dan keluarga yang memerlukan.
"Saya mengajak Pertapis untuk bekerjasama dengan badan-badan M³, terutama FITRAH dan M³@Bandar, kerana terdapat banyak sinergi yang boleh dimanfaatkan bagi kebajikan masyarakat kita.
"Dengan kerjasama yang lebih erat, saya yakin kita dapat memperluas dan memperkukuhkan jangkauan kepada masyarakat Melayu/Islam di samping menyampaikan khidmat yang bermutu kepada golongan susah," tulis Encik Masagos.
Beliau telah melawat Rumah Peralihan Pertapis minggu lalu bersama Mayor CDC South East Fahmi Aliman dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) Esa Masood.
Encik Masagos turut melahirkan rasa bangganya terhadap program-program yang dianjurkan Pertapis, dan telah dihadiahkan dengan buku Ulang Tahun ke-50 badan Melayu/Islam itu semasa lawatannya.