Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos gesa asatizah tingkat kemahiran, teroka dan manfaatkan ekonomi

Menteri bincang keprihatinan, cabaran dan peluang masa depan asatizah itu bersama pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar
Mar 12, 2019 | 05:30 AM



DARI KAHIRAH, MESIR: TIRAI perbincangan mengenai keprihatinan, cabaran dan peluang berhubung asatizah masa depan dimulakan apabila Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, bertemu sekumpulan pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar kelmarin.



Para mahasiswa itu diundang membincangkan tentang jenis kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk berfungsi sebagai asatizah dengan berkesan pada masa depan.



Mereka juga diminta berkongsi tentang kerjaya yang ingin mereka bina apabila pulang ke Singapura dan bagaimana sektor keagamaan Islam boleh dijadikan lebih menarik.



Seramai 30 mahasiswa Al-Azhar dibahagikan kepada empat kumpulan berbincang dan mengutarakan beberapa pandangan.



Mereka kemudian berdialog dengan Encik Masagos.



Ketika diminta mengulas mengenai perbincangan itu, Encik Masagos berkata sesi itu membolehkan beliau berkongsi dengan pelajar itu tentang Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) dan juga Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).



Perkara berkaitan Cofa dan PCICS telah diketengahkan semasa bahas Belanjawan di Parlimen Jumaat lalu.



Encik Masagos, juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, menjelaskan tentang keprihatinan berhubung masa depan asatizah dalam suasana yang pesat berubah.



"Ekonomi akan berubah dan ia sedikit sebanyak akan menjejas bidang agama dan pemimpin agama.



"Jadi kita ingin berkongsi dan berdialog dengan pelajar Al-Azhar untuk mendengar keprihatinan mereka dan juga berkongsi tentang keprihatinan kami.



"Sekali gus kami juga ingin mengingatkan bahawa apa sahaja yang dipelajari di universiti di luar negara harus disesuaikan dengan konteks Singapura dan masyarakat majmuk Singapura.



"Mereka peka. Ini satu tanda baik dan satu permulaan baik," kata beliau.



Encik Masagos menjelaskan bahawa kini terdapat sekitar 2,500 asatizah bertauliah di Singapura dan setiap tahun 150 asatizah akan kembali ke tanah air.



Dengan itu, tahun demi tahun bilangan itu akan bertambah.



"Jika mereka tidak meningkatkan kemahiran dan cara mengajar atau cara membimbing pelajar mereka, mereka juga tidak akan dapat menarik minat daripada pelajar kita.



"Mereka juga mungkin menghadapi cabaran dari luar negara, melalui Internet," tambahnya.



Kalau mereka tidak hati-hati akan hal ini, Encik Masagos berkata mereka mungkin menghadapi persaingan dari luar negara yang menyampaikan dengan cara lebih menarik dan mengalihkan perhatian pelajar yang perlu mereka bimbing.



"Jadi saya harap asatizah kita akan terus meningkatkan kemahiran mereka dalam menyampaikan pelajaran supaya ada kesan kepada pelajar mereka," ujar beliau.



Menurut Encik Masagos lagi, bidang ekonomi begitu luas yang boleh dimanfaatkan asatizah.



Antaranya ialah kaunseling dalam bidang rundingcara kewangan keislaman dan sebagainya, di samping dalam bidang tradisional seperti masalah syariah dan undang-undang keluarga.



Tetapi ada juga bidang lebih luas yang mungkin belum mereka terokai, termasuk dalam bidang perniagaan sebagai pegawai yang menganggotai Syarikat Pelaburan Pemerintah (GIC) atau Temasek di Timur Tengah dan sebagainya.



"Ini semua adalah peluang yang harus mereka fikirkan dan juga terokai supaya mereka dapat raih daripada perubahan dan perkembangan ekonomi yang bakal kita capai," kata Encik Masagos yang sedang melakukan lawatan empat hari ke Mesir dan Jordan.



Beliau ditemani Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood, beberapa pegawai kanan lain.



Mereka akan mengadakan perbincangan serupa dengan pelajar Singapura di Jordan.



Laporan lanjut: Masagos, Imam Besar Al-Azhar bincang pembangunan asatizah




"Ekonomi akan berubah dan ia sedikit sebanyak akan menjejas bidang agama dan pemimpin agama. Jadi kita ingin berkongsi dan berdialog dengan pelajar Al-Azhar untuk mendengar keprihatinan mereka dan juga berkongsi tentang keprihatinan kami. Sekali gus kami juga ingin mengingatkan bahawa apa sahaja yang dipelajari di universiti di luar negara harus disesuaikan dengan konteks Singapura dan masyarakat majmuk Singapura."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >