Masagos gesa Melayu / Islam bina 'Masyarakat Gemilang', gugur tanggapan negatif untuk terus maju

  • Sidang 'Masyarakat Gemilang' tahun depan, bincang pembangunan masyarakat Muslim minoriti sedunia
  • Hampir 400 asatizah dan karyawan tampil jayakan MKuasaTiga

MASYARAKAT Melayu / Islam di Singapura yang kian maju dan memberi sumbangan kepada negara harus menggugurkan tanggapan negatif tentang diri sendiri yang boleh menghambat potensi untuk terus berkembang.

Sebaliknya, ia perlu berazam untuk membentuk “Masyarakat Gemilang’, bersandar kekuatannya dari segi keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan - tiga 'K' yang mencorak kejayaannya setakat ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Malam ini, saya mengajak kita bersama meninggalkan tanggapan negatif kita terhadap masyarakat dan diri kita sendiri. Tidak ada pasukan yang akan menang jika bertemu lawan dengan merasakan serba kekurangan. Tidaklah masuk akal apabila ramai pembesar memuji pencapaian kita, kita pula hanya melihat kepada kelemahan kita,” kata Encik Masagos.

“Malam ini, saya mengajak kita bersama dengan berani dan megah mengatakan bahawa kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Perjumpaan Hari Raya Menteri  - yang kedua diadakannya sejak menyandang jawatan tahun lalu - pada Jumaat (14 Jun).

Dalam ucapannya itu, yang disampaikan kepada tetamu yang terdiri daripada golongan karyawan, pemimpin pertubuhan Melayu / Islam, aktivis dan penggiat akar umbi, Encik Masagos turut menekankan peranan penting yang dimainkan masyarakat Melayu / Islam dalam membina masyarakat majmuk di Singapura.

Menurut Encik Masagos, berbeza daripada masyarakat minoriti di negara-negara lain yang dibayangi stereotaip sebagai ‘mangsa’ dan hidup berasingan daripada masyarakat aliran utama, masyarakat Melayu / Islam di Singapura menyumbang kepada ekonomi dan negara dan mampu menyelesaikan masalah sendiri.

Masyarakat Melayu / Islam di Singapura juga dihormati masyarakat lebih luas di Singapura dan luar negeri, tambah Encik  Masagos.

Encik Masagos turut mengumumkan rancangan untuk mengadakan sidang khas tahun depan, bagi membincangkan pembangunan masyarakat Muslim minoriti di serata dunia.

Dalam pada itu, memberi perkembangan terkini tentang projek MKuasaTiga (M3), Encik Masagos berkata hampir 400 karyawan dan asatizah telah tampil sebagari relawan untuk bersama membangun masyarakat.